Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 11:30 pagi tadi, sebuah lori kelas 2 dengan muatan bahan kimia WRDA 96M telah terbalik beberapa meter dari laluan keluar di Plaza Tol Ayer Keroh menyebabkan berlakunya tumpahan.
Kemalangan tersebut walau bagaimanapun tidak menyebabkan kecederaan terhadap pemandu atau pelanggan lebuhraya yang lain.
Bagi memastikan keselamatan pelanggan serta petugas plaza tol, pasukan Bomba yang tiba di lokasi sejurus selepas dimaklumkan telah mengarahkan laluan keluar dari lebuhraya di plaza tol terbabit ditutup dengan segera kepada semua kenderaan.
Penutupan tersebut juga perlu dilakukan untuk memudahkan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan dilakukan dalam persekitaran yang selamat dan terkawal.
“Pasukan bomba dari Ayer Keroh, Alor Gajah dan Tangga Batu serta pasukan Hazmat dan Propel telah berjaya melaksanakan kerja-kerja pembersihan, penilaian dan pengalihan dengan pantas dan membolehkan ke semua laluan di plaza tol berkenaan dibuka semula kepada pelanggan kira-kira jam 3:50 petang tadi,” kata Ketua Pegawai Operasi PLUS, Zakaria Ahmad Zabidi.
Zakaria turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak dan agensi yang berkaitan dalam menangani insiden ini dengan selamat dan seterusnya mengelakkan ia menjadi lebih serius.
Sementara itu, maklumat tentang penutupan sementara laluan keluar di Plaza Tol Ayer Keroh telah disalurkan secara berterusan kepada orang ramai menerusi papan tanda elektronik di lebuhraya, perkhidmatan Twitter PLUSTrafik serta media sosial.
Ketika penutupan mandatori ini dilaksanakan, pelanggan yang menghala ke Melaka telah dinasihatkan supaya keluar dari lebuhraya menerusi Persimpangan Simpang Ampat (Alor Gajah) dan Jasin.
“PLUS mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan yang telah memberikan kerjasama yang baik ketika kerja-kerja pembersihan dan pengalihan ini dijalankan,” jelas Zakaria.