TuneBoss - produk anak-anak Melayu Subang Jaya ke pasaran dunia

oleh HEZERI SAMSURI|
Modifikasi kenderaan atau pasaran aftermarket adalah salah satu cabang industri automotif yang besar dan meluas.

Ia membabitkan item-item dari seringkas pelekat kenderaan, kepada roda aloi dan bodykit serta kepada yang memerlukan teknologi yang lebih tinggi - contohnya unit pengawal komputer atau ECU.

ECU adalah otak kepada sebuah kenderaan modern dan sekiranya ia mampu ditala, prestasi enjin mampu ditingkatkan dengan cara paling mudah, paling selamat dan paling murah.

Siapa sangka di Malaysia, kita ada sebuah jenama terkemuka yang khusus untuk ECU aftermarket bagi motosikal - TuneBoss.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
tuneboss hq

 

Jenama TuneBoss ialah milik syarikat induknya, FSR Technology Sdn Bhd.

Careta bertemu dengan dua orang pengasas syarikat tersebut dan belajar lebih lanjut mengenai sejarah mereka.

Suffian Zamali, 38 tahun, anak jati Kuala Lumpur tetapi dibesarkan di Subang Jaya.

Selepas belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Suffian terbang ke Amerika Syarikat untuk menyambung pendidikannya di University of Minnesota.

Suffian kembali ke tanahair dengan Ijazah Sarjana (Master's Degree) di dalam bidang Elektrikal dan Elektronik (MSc ECE) dan memulakan karier beliau dengan syarikat Intel di Pulau Pinang. 

Rakannya, Farhan Ali, 35 tahun, juga anak Subang Jaya, adalah bekas pelajar SMK Subang Utama sebelum beliau melanjutkan pelajarannya di Carnegie Mellon University di bandar Pittsburgh, US.

Bakal berkahwin, Farhan kini memegang Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Elektrikal dan Komputer (MS ECE) dari Carnegie Mellon.

Kedua-duanya menjadi rapat bila sama-sama bertugas di sebuah syarikat semi-konduktor di Malaysia. 

 

 

Dalam tahun 2010, mereka mula mencari-cari sesuatu produk yang boleh diusahakan untuk masa hadapan mereka. 

Pada masa yang sama, sistem pancitan bahan api atau EFI masih baharu di Malaysia dan antara motosikal berenjin kecil yang datang dengan EFI ialah Yamaha FZ150i.

Tidak banyak komponen atau aksesori yang ada untuk EFI dan ramai yang masih tidak begitu faham

Suffian dan Farhan terjumpa dengan satu produk yang dijual dipasaran ketika itu - sebuah produk Piggy Back Fuel Controller (Pengawal Bahan Api Tumpangan) yang dijual pada harga RM400.

Setelah dikaji, Suffian dan Farhan terkejut kerana alat yang mahal itu sebenarnya adalah perintang boleh laras (potential meter) yang dipasang pada sistem EFI. Ia adalah umpama memasang satu lagi pengawal kekuatan bunyi (volume) pada radio tetapi dijual dengan harga yang sama dengan sebuah amplifier.

 

 

Tidak berpuas hati dengan apa yang dilihat dan juga pengguna yang terpaksa membayar kos tinggi untuk benda semudah itu, Suffian dan Farhan mengambil keputusan untuk berhenti bekerja dan mula menghasilkan produk pertama mereka - FCU atau Fuel Control Unit (Unit Pengawal Bahan Api).

Setahun mereka berdua ini melakukan kajian dan percubaan sebelum produk itu terhasil, khas untuk Yamaha FZ150i.

Direka, dihasilkan dan dipasang di Malaysia, FCU adalah produk pertama FSR Technology dan ia dijual pada harga RM400.

FCU memberikan kebolehan pemetaan 3D (3D Mapping) untuk enjin FZ150i itu dan ia boleh ditala menggunakan port USB yang disambung ke laptop. Ia lebih canggih dan mampu mengawal lebih banyak parameter, dan berbaloi dengan harga jualannya.

 

 

Sambutan untuk FCU sangat baik sehinggakan ada syarikat tempatan yang membeli produk FCU tetapi dijenamakan semula menggunakan jenama mereka sendiri.

Selepas FCU, FSR Technology terus menumpukan perhatian kepada pembangunan ECU standalone, iaitu unit ECU yang menggantikan terus ECU asal untuk memberikan penambahan tenaga dan penjimatan bahan api.

Dalam bulan Oktober 2014, FSR Technology melancarkan ECU pertama mereka, khusus untuk model Yamaha FZ150i.

FSR Technology juga percaya ECU mereka adalah yang pertama di dunia dilengkapi dengan perhubungan teknologi nirwayar (wireless) melalui Bluetooth (Bosch mengumumkan teknologi yang sama lebih kurang setahun selepas itu).

Ini bermakna dengan hanya peranti smartfon Android, anda boleh menala ECU ada melalui Bluetooth sahaja.

Anda juga mampu menerima pelbagai informasi berkaitan motosikal anda hanya dengan peranti smartfon dari FSR Technology, tanpa perlu menggunakan kabel dan sebagainya.

 

 

Kini, FSR Technology, dibawah jenama TuneBoss, menghasilkan ECU untuk 15 model motosikal popular di dalam dunia. 

Ia juga mampu menghasilkan ECU untuk motosikal dua silinder seperti Yamaha R25 dan juga ECU yang mampu mengawal sistem injap VVA Yamaha (seperti teknologi VTEC untuk Honda).

Antara parameter yang mampu dikawal oleh ECU TuneBoss ialah:

  • Pam bahan api
  • Kipas radiator
  • Pemasaan injap enjin
  • Pemasaan palam pencucuh
  • Penyuntik bahan api (EFI)
  • Panel meter
  • Lampu hadapan

Kesemua ini dikawal melalui perisian yang dibangunkan sendiri oleh Suffian dan Farhan.

 

 

Untuk ujian, FSR Technology sanggup terbang ke pasaran-pasaran utama dunia untuk membina dan menguji ECU.

Contohnya, sebelum Yamaha melancarkan model super kapcai popular mereka, Y15ZR atau Y-Suku, Suffian dan Farhan sudah terbang ke Thailand untuk membuat kajian dan percubaan ke atas model Yamaha Exciter di sana.

"Kami ada pengedar rasmi di Thailand dan kami minta bantuan mereka untuk mendapatkan motosikal di sana," ujar Farhan.

FSR Technology juga mempunyai dyno mereka sendiri, dari jenis Mainline, Australia. Ia digunakan untuk membantu kerja-kerja R&D mereka dan juga FSR Technology menawarkan perkhidmatan talaan untuk motosikal-motosikal milik pelanggan.

 

 

Pada bulan Ogos tahun 2019, FSR Technology berpindah dari Ara Damansara ke bangunan baharu mereka di kawasan perindustrian di Bukit Jelutong, Selangor.

Ibupejabat baharu ini lengkap dengan makmal Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), bahagian penghasilan produk, makmal ujian kualiti (semua ECU TuneBoss akan diuji dan dipasang kepada sebuah motosikal di dalam makmal mereka sebelum ia dikotakkan untuk dijual) dan sebuah dynamometer untuk motosikal.

Menarik perhatian Careta ialah kehadiran surau di setiap tingkat bangunan tersebut.

FSR Technology kini mempunyai seramai 16 orang pekerja di mana 30 peratus terbabit dengan proses R&D sementara yang lain dalam bahagian produksi dan unit sokongan teknikal.

 

tuneboss 3D

 

Lengkap dengan peralatan teknologi terkini, FSR Technology menghasilkan kesemua komponen dan pemasangan di dalam negara dan FSR Technology adalah satu-satunya syarikat pembuat ECU aftermarket untuk motosikal di Malaysia.

Kejayaan FSR Technology turut dibantu oleh agensi-agensi kerajaan dan pada fasa permulaan, mereka berjaya meraih geran khas dari program Cradle Fund Sdn Bhd.

Hingga kini, FSR Technology masih mendapat pengiktirafan dari kerajaan dan suntikan dana terus dilakukan untuk membantu FSR Technology untuk terus berkembang.

TuneBoss mempunyai lebih kurang 60 pengedar di seluruh negara dan produk mereka dieksport ke Thailand, Filipina hingga ke Mexico.

Harga ECU TuneBoss bermula dari RM499 sehingga ke RM999, dan mampu memberikan suntikan tenaga 10 peratus lebih tinggi.

Bagi motosikal yang sudah melalui proses modifikasi, penggunaan TuneBoss membolehkan tenaga dinaikkan antara 20 hingga 30 peratus lagi.

 

 

Selain dari ECU, TuneBoss juga mempunyai komponen Quickshifter yang turut disambung kepada ECU TuneBoss.

Quickshifter TuneBoss membenarkan penunggang menukar gear tanpa menarik klac (ketika tunggangan laju). Harga untuk Quickshifter pula ialah dari RM300.

"Kami ada produk-produk baharu dalam masa akan datang. Ada yang berkaitan dengan produk-produk terkini TuneBoss dan ada yang mungkin berlainan sedikit. 

Apapun, kami di TuneBoss menghargai sambutan dan sokongan pengguna Malaysia akan produk tempatan ini dan InsyaAllah produk-produk TuneBoss akan menjadi lebih baik dan lebih menarik," ujar Suffian dan Farhan.

Untuk anda yang berminat dengan produk mereka, layari laman web mereka di https://tuneboss.com

Untuk mencari pengedar berhampiran, sila layari https://tuneboss.com/distributors/

Di bawah pula ialah video TuneBoss yang memang mengujakan.

 

Berita Berkenaan

Pelancaran
Seperti yang anda tahu, sistem Quickshifter berfungsi untuk membenarkan penunggang menukar gear…
Berita Domestik
Produk ATAS, atau nama penuhnya Accidental Throttle Activation Safety ini dikatakan mampu…
Berita Domestik
Syarikat teknologi tempatan milik bumiputra, FSR technology kini menghasilkan model quickshifter…