Tunggang uji: Ducati Scrambler Nightshift - pakej lengkap gaya dan prestasi!

oleh Firdaus Razani|
Dalam dunia dua roda yang penuh pilihan, Ducati Scrambler kekal sebagai jenama yang membawa gaya hidup ke dalam satu pakej motosikal retro moden.

Bagi tahun 2025, varian Scrambler Nightshift terus mengekalkan identitinya sebagai jentera yang bukan sahaja sedap dipandang, tetapi juga selesa ditunggang dan lengkap dengan teknologi serta komponen premium. Sekali bawa, memang susah nak rasa puas

Dari segi rekaan luaran, Nightshift membawa gaya minimalis yang bersih tetapi penuh karakter. Ia hadir dengan lampu utama LED DRL bulat dengan paten 'X', bar hendal rata gaya cafe racer, tempat duduk lurus jenis flat, serta fender yang pendek.

 

ducati

 

Semua ini menjadikan motosikal ini tampil bergaya tanpa perlu sebarang modifikasi, cukup keluar dari showroom, terus boleh bawa jalan-jalan dengan rasa bergaya!

Antara kekuatan utama Scrambler Nightshift ialah rangka jenis trellis tubular keluli yang menjadi asas kepada kestabilan dan pengendalian motosikal ini. Rangka ini turut menampilkan subframe belakang yang boleh ditanggalkan, memudahkan proses penyelenggaraan atau penyesuaian jika diperlukan.

 

ducati

 

Motosikal ini juga cukup ringan untuk dikendalikan, dengan berat kerb sekitar 191kg, menjadikannya sesuai untuk pelbagai jenis penunggang sama ada di kawasan bandar mahupun jalan luar bandar.

Untuk sistem gantungan, Nightshift menggunakan fork hadapan jenis USD (upside down) yang kukuh dan responsif, manakala di belakang pula hadir dengan penyerap hentak tunggal (rear shock) yang boleh dilaras pra-beban (preload adjustable). Gabungan ini memberi kestabilan baik dan keselesaan seimbang tidak kira permukaan jalan.

 

ducati

 

Bahagian roda pula menggunakan rim jejari (spoked aluminium wheels) yang bukan sahaja menyerlahkan gaya klasik tetapi juga cukup tahan lasak.

Bahagian hadapan menggunakan tayar bersaiz 110/80 R18, manakala belakang pula tayar bersaiz 180/55 R17, dipadankan dengan tayar Pirelli MT60 RS yang sesuai untuk gabungan permukaan jalan tar biasa dan jalan tidak berturap, memberikan cengkaman mantap dan kestabilan dalam semua keadaan.

 

ducati

 

Dari segi kuasa, nadi enjinnya ialah enjin L-Twin 803cc sejukan udara dengan sistem desmodromic, menghasilkan 73hp pada 8,250rpm dan 65.2Nm tork pada 7,000rpm. Ia dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan dan klac jenis slipper, motosikal ini memberikan penukaran gear yang lancar serta lebih kawalan ketika brek enjin.

 

ducati

 

Ia turut tampil dengan dua mod tunggangan, Road EVO dan Sport EVO yang boleh diakses melalui skrin TFT 4.3 inci yang cerah dan mudah digunakan. Antara ciri keselamatan penting termasuklah Ducati Traction Control (DTC) dan Cornering ABS, menjadikan motosikal ini moden walaupun bergaya klasik.

 

ducati

 

Menambah kepada elemen premium, Nightshift turut dilengkapi sistem brek dari Brembo, dengan kaliper radial di hadapan yang memberi cengkaman memberhentikan yang konsisten dan berkuasa.

Namun, satu perkara penting, ekzos Termignoni tidak hadir sebagai kelengkapan standard, tetapi merupakan pilihan aksesori tambahan. Bagi mereka yang memilih untuk menambahnya, nota bunyi yang dihasilkan memang lebih padu dan mengasyikkan – terutama ketika motosikal dalam keadaan idle.

 

ducati

 

Kedudukan ergonomik yang selesa dengan ketinggian tempat duduk 795mm, bar hendal lebar dan berat sederhana menjadikan Nightshift mudah ditunggang untuk semua lapisan penunggang. Tangki bahan api berkapasiti 13.5 liter pula membolehkan perjalanan sejauh kira-kira 250km satu isian penuh, cukup untuk kegunaan harian mahupun hujung minggu.

 

ducati

 

Ducati Malaysia menawarkan tiga varian utama untuk tahun 2025 iaitu Scrambler Icon, Full Throttle dan Nightshift. Icon membawa gaya kasual yang mesra pengguna, Full Throttle tampil lebih agresif dengan quickshifter dan inspirasi flat tracker, manakala Nightshift berada di tengah-tengah dengan gaya yang matang, karakter klasik, serta komponen premium.

 

ducati

 

Harga rasmi masing-masing adalah RM67,000 untuk Icon, RM78,000 untuk Full Throttle dan Nightshift. Namun, sempena Naza Automania Carnival Vol.2 dari 23 hingga 25 Mei, harga promosi khas ditawarkan, iaitu Icon kini RM54,900, manakala Full Throttle dan Nightshift masing-masing RM63,400. Promosi ini berlangsung sehingga hujung bulan Jun 2025.

Kesimpulannya, Ducati Scrambler Nightshift bukan sekadar sebuah motosikal, ia adalah pakej lengkap antara gaya, teknologi dan kepraktisan harian. Dengan penggunaan rangka trellis, suspensi premium, brek Brembo, tayar Pirelli serta pelbagai teknologi moden, ia menawarkan pengalaman tunggangan yang menyeronokkan setiap hari.

Jika anda mahukan motosikal yang bergaya, mudah dikendalikan dan mempunyai karakter tersendiri, Nightshift adalah calon yang sangat sesuai.

 

ducati

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Reka Bentuk dan Gaya     Reka bentuk Monster generasi kelima diolah sepenuhnya dengan tumpuan…
Berita Global
Ciri-ciri Utama     Model 2026 membawa pembaharuan ketara pada sistem elektronik dan casis…
Berita Global
Rekaan Baharu     Diavel V4 RS tampil dengan reka bentuk serba baharu. Setiap elemen, dari…