Royal Enfield merupakan salah satu jenama yang dibawa masuk ke pasaran tempatan oleh Didi Group, di mana kebanyakan model terkininya menampilkan motosikal gaya klasik dengan teknologi moden bersama harga yang berdaya saing.
Sebagai persaingan dalam segmen adventure touring, Royal Enfield diwakili oleh model Himalayan yang boleh dikategorikan sebagai sebuah jentera dual-purpose aras mula dengan harga mampu milik.
Untuk membuktikan kebolehannya sebagai sebuah adventure touring, penulis bersama beberapa rakan media lain telah dijemput untuk menguji kebolehan Himalayan 450 2024.
Jika dibandingkan dengan Himalayan 411 yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada tahun 2022, Himalayan 450 2024 baharu sememangnya sebuah jentera berbeza dengan naik taraf yang merangkumi hampir keseluruhan aspek.
Pada pandangan pertama, penulis menyangka bahawa Himalayan 450 2024 merupakan jentera adventure touring yang sama seperti generasi sebelumnya, dikuasakan oleh enjin yang lemau dan berat untuk ditunggang.
Namun sangkaan pandangan pertama penulis meleset setelah mencuba dan mendalami semua aspek naik taraf yang dibawakan pada Himalayan 450 2024.
Himalayan 450 2024 menawarkan naik taraf keseluruhan berbanding generasi sebelumnya. Tiada lagi enjin sejukan udara, ia kini dikuasakan nadi satu silinder 452cc sejukan cecair serba baharu, dipasangkan pada casis yang direka bentuk semula.
Di atas kertas, nadi baharu Himalayan itu mampu menghasilkan sehingga 40 HP dan 40 Nm, di mana angka kuasa kuda yang dihasilkan kini dua kali ganda lebih tinggi berbanding Himalayan generasi sebelum ini.
Sesuai dengan laluan tunggang uji di sekitar kawasan Bentong, Pahang yang berliku, penulis dapat merasai sendiri respon pecutan yang lebih baik di setiap enam gear.
Enjin baharu itu juga menyalurkan kuasa yang lancar, membolehkan kawalan lebih baik dibantu oleh pendikit elektronik (ride-by-wire), dan sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran yang boleh dimatikan (brek belakang) untuk kegunaan off-road.
Ujian sebenar apabila kami tiba di bahagian laluan yang berbatu, berlumpur dan juga anak sungai cetek yang menyerlahkan kebolehan Himalayan.
Membolehkan pengalaman menunggang off-road yang lancar dan mudah untuk pemula, Himalayan 2024 dilengkapi fork hadapan USD Showa SFF 43 mm dan penyerap hentak tunggal Showa di belakang, menawarkan jarak pergerakan suspensi sehingga 200 mm.
Tetapan sistem gantungan dari Showa itu semestinya memberikan penulis keyakinan untuk menunggang dengan pantas di permukaan bumi yang sukar dan tidak rata.
Di atas jalan biasa pula, sungguh mengagumkan di mana kendalian Himalayan baharu itu menyebabkan penulis terlupa bahawa ianya merupakan sebuah adventure touring dengan berat kering 181 kg.
Dengan nadi yang kini lebih berkuasa ditambah pula dengan tetapan suspensi Showa, penulis dapat menikmati jalan berselekoh dengan lebih yakin.
Ergonomik tunggangan juga banyak membantu, di mana ianya telah direka bentuk semula bersama tempat duduk dengan ketinggian boleh laras antara 805 mm hingga 845 mm.
Antara kelengkapan lain yang sempat penulis cuba ialah ciri ketersambungan dengan telefon pintar pada skrin TFT bersaiz 4 inci, di mana ianya membolehkan penunggang mengakses fungsi kawalan media dan navigasi.
Disebabkan tempoh ujian yang agak pendek, penulis tidak dapat mencuba dengan lebih mendalam beberapa aspek lain termasuk penggunaan minyak.
Bagaimanapun, kelajuan tertinggi tetap menjadi keutamaan penulis untuk diuji, di mana sedikit tunduk udang membolehkan kelajuan 170 kmj dicapai.
Harga? Pengedar rasmi Royal Enfield Malaysia iaitu Didi Group akan mengumumkan tanda harga rasmi bagi Himalayan 450 2024 pada 27 Julai di acara Art Of Speed 2024.
Secara keseluruhan melalui tunggang uji ringkas ini, suka penulis katakan bahawa Himalayan 450 2024 ini merupakan adventure touring yang berbaloi untuk dimiliki bagi pemula.