Ubah suai tangki minyak, cubaan seleweng 1,000 liter diesel gagal

oleh Hamimah Hamid|
CUBAAN seorang lelaki menyeleweng diesel dengan menutup lori dipandunya dengan kanvas gagal selepas dia ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Sultan Iskandar Shah, Ipoh.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Perak (KPDNHEP), Saifullizan Kamarul Zaman berkata pemandu lori berusia 24 tahun itu ditahan ketika sedang mengisi diesel di stesen minyak tersebut pada 2.30 petang.

Katanya, kejayaan tangkapan itu adalah hasil daripada pemantauan harian yang dijalankan anggota penguat kuasa KPDNHEP di stesen minyak sekitar Ipoh.

"Hasil pemeriksaan mendapati sebuah lori bertutup kanvas sedang mengisi minyak diesel di stesen minyak tersebut, terdapat empat tangki fiber yang disyaki berisi minyak diesel disimpan di dalam lori berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut juga mendapati saluran tangki asal minyak lori itu telah diubah suai dan disambungkan dengan empat buah tangki fiber berkenaan” katanya

Menurut Saifullizan, semakan juga mendapati pemandu lori itu tidak mempunyai sebarang dokumen atau permit yang sah bagi membeli minyak diesel.

Justeru katanya, pasukan pegawai KPDNHEP Perak telah mengambil tindakan dengan menyita hampir 1,000 liter minyak diesel dari lori berkenaan di lokasi tersebut.

Saifullizan berkata, pemandu lori itu telah ditahan untuk diambil keterangan serta dan siasatan lanjut dan kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM45,850.

"Pemandu kenderaan ini tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis untuk membeli barang kawalan petrol/diesel dalam kuantiti yang banyak daripada Pengawal Bekalan Malaysia.

"Dianggarkan hampir 1,000 liter disyaki diesel telah diisi ke dalam tangki-tangki berkenaan. Selain itu lori berkenaan dipercayai mengumpul minyak diesel dengan mengisi di beberapa stesen sebelum dijual kepada pihak industri," katanya lagi.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan- Peraturan Kawalan Bekalan 1974.
Tegas beliau,  KPDNHEP melarang pembelian diesel dan petrol menggunakan tong, botol plastik atau mana-mana bekas melebihi 20 liter tanpa kebenaran Pegawai Bekalan.

Orang ramai dan pengusaha stesen minyak diingatkan bahawa mana-mana pihak yang hendak membeli petrol dan diesel bagi tujuan selain daripada mengisi minyak ke dalam kenderaan, mereka perlu mendapatkan permit khas yang dikeluarkan oleh KPDNHEP.