Ubah suai tangki Proton Waja dan Nissan Livina untuk seleweng petrol

oleh Penyumbang Rencana|
foto Buletin TV3
Sepasang suami isteri bertindak mengubahsuai tangki tambahan sehingga mampu memuatkan petrol sehingga hampir lima kali ganda dari kapasiti asal demi menjalankan kegiatan penyelewengan.

Kaedah itu dilakukan mereka yang berusia 50-an dan 70-an yang ditahan bersama 175 liter petrol yang dimuatkan dalam kenderaan jenis Nissan Grand Livina ketika serbuan di rumahnya di Kampung Talak, di Tumpat.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, serbuan dibuat jam 9.40 pagi semalam bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menerusi hasil risikan.

“Hasil risikan terdahulu mendapati kenderaan itu digunakan sebagai pengangkutan untuk membawa petrol bagi tujuan penyelewengan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tangki kenderaan itu diubahsuai termasuk tangki tambahan di bahagian bonet tempat penyimpanan tayar bahagian belakang dan pengubahsuaian itu mampu memuatkan jumlah petrol hampir lima kali ganda berbanding tangki asal.

“Kami menemui 175 liter petrol dengan anggaran nilai RM358.75 dalam tangki berkenaan yang disyaki diisi di beberapa stesen minyak sekitar Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.

Azman berkata, siasatan awal mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkait pemilikan minyak petrol terbabit dan mengaku barang kawalan bersubdsidi itu akan diseludup ke negara jiran melalui pangkalan haram di sempadan.

Sementara itu di Tanah Merah, seorang wanita berusia sekitar 30-an ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga jam 7.15 pagi Selasa semasa ingin melepasi pemeriksaan pegawai penguatkuasa.

Azman berkata, wanita warga tempatan itu ditahan selepas pihak berkuasa mengesan tangki kenderaan jenis Proton Waja yang dipandunya diubahsuai serta terdapat tangki tambahan.

“Wanita terbabit memberi alasan baru pulang menghantar anak ke sekolah namun pemeriksaan lanjut menemui 100 liter petrol dalam tangki dianggarkan bernilai RM205 dipercayai untuk dibawa masuk ke Thailand.

“Ketiga-tiga suspek dari dua kes ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

 

BuletinTv3