Ujian penuh esok tentukan pembukaan semula perkhidmatan LRT Kelana Jaya

oleh Penyumbang Rencana 2|
Satu ujian penuh akan dijalankan esok di laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya bagi memastikan tiada sebarang gangguan kepada sistem sebelum perkhidmatan itu dibuka semula kepada orang awam.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata tarikh pembukaan perkhidmatan LRT bagi laluan Kelana Jaya akan bergantung kepada hasil pengujian yang akan bermula malam ini.

"Esok adalah hari ujian penuh. Kalau semua berjalan dengan baik, apa-apa keputusan akan dibuat oleh pengilang asal, dan (selepas) memberi jaminan selamat digunakan, maka Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan masuk untuk membuat ujian terakhir.

"Apabila APAD merasakan ia selamat seperti mana yang dijamin pengilang asal, maka akan buat keputusan selepas hasil daripada ujian itu. Apa pun kena patuhi ciri-ciri keselamatan, dan sama ada diawalkan pembukaan bergantung kepada hasil pengujian esok," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Wee berkata sekiranya perkhidmatan dapat dipulihkan pada keesokan harinya, Prasarana perlu membuat pengumuman pada pukul 6 petang bagi membolehkan orang awam peka dan bersedia.

Beliau berkata Vehicle Control Centre (VCC) dan Signalling Management Centre (SMC) telah dikenal pasti sebagai punca kepada gangguan sistem perkhidmatan.

"Kedua-dua sistem itu telah menyebabkan pusat kawalan operasi (OCC) tidak dapat mengesan keberadaan tren di dalam skrin. 

Wee berkata selepas kedua-dua komponen ditukar, pengujian telah dijalankan semalam melibatkan 37 stesen dan 24 tren dari Gombak hingga Putra Heights, dan keputusan didapati positif setakat ini.

Beliau berkata keputusan Prasarana untuk menggantung operasi di 16 stesen selama tujuh hari sejak Rabu lepas adalah sukar, namun perlu diambil kerana jika tidak, ada risiko kemalangan tren.

"Satu keputusan yang saya rasa tepat untuk melindungi nyawa rakyat," katanya.

Sebelum ini, Prasarana mengumumkan operasi di 16 stesen LRT dari Kelana Jaya hingga Ampang Park digantung dari 9 Nov hingga 15 Nov susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

-- BERNAMA

Berita Berkenaan

Berita Global
Setakat ini, spesifikasi tepat kereta sports berorientasikan off-road ini tidak diketahui. Namun,…
Berita Global
Mengutip info daripada Car 2Day, Nissan dilihat sedang menguji Serena generasi C28 walaupun model…
Berita Global
  Ujian berlangsung selama kira-kira 10 minit, bermula 4.45 pagi waktu tempatan pada Isnin (19:45…