Penyerahan ini bertujuan membolehkan MOT menilai keupayaan sebenar teknologi elektrifikasi dalam penggunaan harian, sekali gus membantu dalam pembentukan dasar berkaitan mobiliti mampan di negara ini menerusi pendekatan elektrifikasi multipathway.
Turut diserahkan prototaip kenderaan penguatkuasa Toyota Corolla Altis 1.8E untuk JPJ yang akan dipandu uji selama enam bulan bagi tujuan pembangunan dan penyelidikan operasi.
Presiden UMWT Datuk Ravindran K, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada usaha kolektif ke arah mencapai aspirasi pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
"Komitmen kami bukan sekadar janji, tetapi disusuli tindakan bermakna menerusi pendekatan 'Multipathway Toyota' yang inklusif serta pragmatik," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Inisiatif ini turut mendukung aspirasi Dasar Tenaga Negara 2022-2040 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang menekankan peranan sektor swasta dalam mempercepatkan agenda kelestarian nasional.
UMWT yang berpengalaman luas dalam teknologi hibrid, menyediakan ruang pembelajaran langsung kepada pegawai MOT dalam aspek penggunaan teknologi, kesiapsiagaan infrastruktur dan pengalaman pengguna.
Menurut Pengarah Eksekutif UMWT, Mohd Shamsor Mohd Zain, teknologi hibrid kekal sebagai penyelesaian praktikal untuk mengurangkan pelepasan karbon tanpa memerlukan perubahan drastik terhadap infrastruktur sedia ada.
Beliau berkata, teknologi hibrid bukan sahaja mengurangkan pelepasan karbon secara serta-merta, malah membina keyakinan dalam kalangan pengguna arus perdana sebelum beralih sepenuhnya kepada kenderaan elektrik.
Melalui pendekatan 'Multipathway Toyota', elektrifikasi tidak hanya dilihat dari sudut inovasi, tetapi turut disesuaikan secara inklusif dan pragmatik mengikut keperluan, kesediaan dan kemampuan masyarakat dan memastikan tiada siapa ketinggalan mahupun terpinggir.
Kerjasama ini juga menyokong Pelan Tindakan Mobiliti Rendah Karbon 2021–2030 yang menyasarkan peningkatan penggunaan kenderaan elektrifikasi sebanyak 15 peratus menjelang 2030 dan 38 peratus menjelang 2040.
Berlandaskan visi 'Move Your World', UMWT berikrar terus memperkasakan penyelesaian mobiliti berasaskan inovasi dan nilai kemanusiaan, sekali gus memacu transformasi Malaysia ke arah masa depan rendah karbon yang berimpak tinggi.