UMWT umum strategi pelbagai cara untuk capai neutraliti karbon - BEV, HEV, FCEV

oleh Mohamad Hanif|
UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini membentangkan strategi baharu dalam usaha untuk mencapai neutraliti karbon menjelang tahun 2050, dan dalam masa yang sama mempamerkan SUV elektrik pertama mereka, Toyota bZ4X.

Strategi berbilang laluan itu bakal memperlihatkan UMWT bukan sahaja akan menekankan penggunaan kereta elektrik bateri (BEV), akan tetapi turut memfokuskan kepada alternatif seperti kenderaan hibrid elektrik (HEV) dan kenderaan sel bahan api hidrogen (FCEV).

Terdahulu, kerajaan Sarawak menerusi SEDC Energy telah menerima lima unit sedan Toyota Mirai untuk tujuan penilaian bagi merancakkan ekonomi hidrogen di negeri tersebut.
 

mirai


Menerusi model hibrid elektrik Corolla Cross Hybrid yang kini dipasang di kilang ASSB Bukit Raja, BEV bZ4X dan FCEV Mirai, ia menunjukkan komitmen UMWT dalam menawarkan solusi yang berkesan untuk semua golongan pengguna di Malaysia.

Dalam masa yang sama, Toyota turut mempamerkan model keratan rentas Toyota Prius yang dilengkapi dengan Toyota Hybrid System, dan sebuah Camry Hybrid yang juga sedang dalam proses penilaian.

Sehingga kini, Toyota telah menjual lebih daripada 20 juta kenderaan berelektrik di peringkat global, menyumbang kepada pengurangan CO2 sebanyak 165 juta tan metrik.
 

hev


Toyota percaya pendekatan HEV merupakan penyelesaian yang paling praktikal dan berkesan untuk rakyat Malaysia, di mana ia menjanjikan pengurangan pelepasan karbon tanpa mengorbankan praktikaliti pemanduan jarak jauh dan ketenangan minda - nilai yang dicari oleh pelanggan pada setiap model Toyota.

Menurut presiden UMWT, Datuk Ravindran K berkata, "Toyota mempunyai strategi pelbagai laluan untuk mencapai neutraliti karbon, dan ia dibuktikan menerusi trenkuasa hijau yang dibangunkan untuk memenuhi keperluan unik pelanggan dari pelbagai tempat di seluruh dunia.

Jelasnya lagi, pihak UMWT akan menawarkan lebih banyak model HEV pada tahun ini.

Toyota juga turut mengiktiraf teknologi BEV sebagai elemen yang penting dalam melengkapkan sasaran neutraliti karbon.
 

bev


Untuk mencipta ekosistem yang mesra BEV, UMWT akan menyokong usaha kerajaan dalam mendirikan 4,000 poin pengecasan EV menjelang akhir tahun ini.

Selari dengan janji yang ditawarkan, Toyota mahu memastikan setiap pelanggan mereka menikmati pemilikan yang penuh ketenangan, tanpa mengira sama ada mereka memiliki sebuah kenderaan ICE biasa, HEV mahupun BEV.

"Pelanggan kami datang dari latar belakang yang pelbagai, bukan sekadar mereka yang tinggal di persisiran pantai barat Semenanjung Malaysia, malah juga di Malaysia Timur.

"Kami percaya dengan menawarkan banyak pilihan kepada pelanggan, mereka akan menentukan penyelesaian hijau mana yang terbaik untuk diambil. Kami akan terus menilai pilihan yang berbeza dan memperkenalkannya jika perlu," jelasnya lagi.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Kementerian mendapati modus operandi penyeludupan yang digunakan melibatkan taktik pembelian…
Berita Global
Dalam dunia ini, teknologi untuk mencapai neutraliti karbon tidak terhad dengan kenderaan elektrik…
Berita Global
Satu divisyen baharu akan ditubuhkan di bawah nama Electrification Business Development Operations…