Sambutan hangat
Selepas Unimog dipamerkan dengan jayanya pada pameran Deutschen Landwirtschaftsgesellschaft (DLG) di Frankfurt pada 1950 timbul pula satu perkara yang perlu ditangani.
Unimog menerima sambutan luar biasa dan para pengurus di Boehringer Bros. iaitu syarikat asal yang mengeluarkannya merasakan bahawa pelaburan besar diperlukan bagi memenuhi permintaan tersebut.
Selain itu, bekalan enjin dari Daimler-Benz tidak semuanya terjamin disebabkan isu kapasiti pengeluaran selepas ledakan ekonomi pasca perang dunia kedua.
Adalah suatu yang munasabah untuk Daimler memberi keutamaan kepada kenderaannya sendiri berbanding jika dipasang pada syarikat lain.
Enjin diesel OM636 dari Mercedes-Benz 170D
Enjin diesel OM 636 dibangunkan untuk Mercedes-Benz 170D dan sebelum itu dibekalkan kepada Boehringer bagi kegunaan Unimog 70200.
Unimog menggunakan enjin dengan output kuasa dihadkan kepada 25 hp berbanding prestasi asal 38 hp.
OM 636 merupakan enjin diesel kereta penumpang pertama yang dikeluarkan selepas perang dunia kedua dan diguna pakai pada kereta penumpang dari tahun 1949 hingga 1963 termasuk Unimog.
Bertukar tangan
Proses perundingan dihadiri oleh dua wakil Daimler-Benz AG dan enam pemegang saham Boehringer.
Di antara individu yang hadir ialah Albert Friedrich, bapa pembangunan Unimog selain Rolf dan Werner Boehringer sebagai wakil Boehringer Bros.
Rundingan untuk pengambil alihan telah dimulakan pada 5 September 1950. Semasa perbincangan, Daimler-Benz telah membuat perakuan bertulis tentang niat mereka untuk mengambil alih Unimog.
Perundingan tersebut akhirnya dipersetujui pada 27 Oktober 1950.
Ratusan ribu unit
Di bawah kumpulan automotif dari Stuttgart itu Unimog terus dimajukan. Kesemua prasyarat untuk pembangunan teknikal yang berjaya berada pada tempatnya dan rangkaian jualan antarabangsa ditubuhkan.
Sehingga kini pelbagai jenis dan varian Unimog dihasilkan termasuk model bomba untuk memadam kebakaran di dalam hutan.
Jumlah yang dikeluarkan telah pun melepasi 380,000 unit dengan 'keringat' Unimog digunakan di serata dunia.
Penulis: Muhammad Md Tajudin