Ura-ura: Rimac mungkin beli Bugatti dari VW Group

oleh Mohamad Hanif|
Tiada laporan rasmi yang diterima setakat ini, namun terdapat beberapa portal media automotif melaporkan bahawa Kumpulan VW sedang mempertimbangkan untuk menjual Bugatti kepada Rimac Automobili.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Laporan daripada Car Magazine UK memetik sumber yang rapat dengan isu tersebut menyebut bahawa perjanjian tersebut telah pun dipersetujui oleh eksekutif VW walaupun ia belum ditandatangani oleh lembaga pengarah kumpulan tersebut.

Walaupun berita ini agak mengejutkan, namun ia merupakan langkah yang masuk akal bagi VW Group memandangkan pengeluar automotif Jerman itu sedang di dalam misi transformasi yang memfokuskan terhadap elektrifikasi, digitalisasi dan teknologi pemanduan autonomi.

Sudah pasti, imej hipercar yang sinonim dengan Bugatti tidak akan serasi dengan visi baharu yang dibawakan oleh Volkswagen.

Namun, ia bukanlah bermakna Bugatti tidak mempunyai kaitan terus dengan VW Group, memandangkan Porsche (jenama di bawah VW) mempunyai pegangan saham sebanyak 15.5 peratus di dalam Rimac.

 


Car Magazine turut menyebut, perjanjian tersebut berkemungkinan memerlukan Porsche mengambil alih pegangan yang lebih besar di dalam Rimac.

Porsche membeli pegangan di dalam Rimac pada tahun 2018 sebanyak 10 peratus, sebelum meningkatkannya kepada 15.5 peratus pada tahun lalu.

Untuk sebuah syarikat yang baharu beroperasi kira-kira 11 tahun yang lalu, adalah sesuatu yang menakjubkan apabila kepakaran mereka mendapat perhatian 15 syarikat besar dunia seperti Hyundai/Kia, Jaguar, Aston Martin, Koenigsegg dan juga Magna.

Menurut sumber itu lagi, selain daripada Bugatti, jenama lain seperti Lamborghini, SEAT, Ital Design, Bentley dan Ducati juga berpotensi besar untuk mengalami nasib yang sama.

Sumber: Car Magazine

Berita Berkenaan

Berita Global
Porsche, Rimac dan Bugatti akan membentuk satu syarikat baharu yang digelar sebagai Bugatti-Rimac…
Model Terbaharu
Rimac tidak sekadar berdiam diri tanpa melakukan sebarang penambahbaikan, di mana perubahan yang…
Berita Global
Video tersebut dimulakan dengan babak mesyuarat oleh pasukan pembangun Rimac yang membincangkan…