Valentino Rossi positif COVID-19, terlepas aksi di Aragon GP

oleh Mohamad Hanif|
Juara dunia tujuh kali kelas MotoGP, Valentino Rossi berkata dia didapati positif Covid-19 dan akan terlepas untuk beraksi di Grand Prix (GP) Aragon minggu ini.

PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Pelumba Itali berusia 41 tahun itu berkata, dia juga mungkin akan terlepas untuk beraksi di Grand Prix Teruel di litar sama.

"Malangnya apabila saya bangun tidur pada sebelah pagi, saya berasa tidak sihat. Tulang saya berasa sakit dan sedikit demam, jadi saya segera menghubungi doktor yang melakukan dua ujian ke atas saya.

"Keputusan ujian pertama didapati negatif seperti ketika saya melakukan ujian pada Selasa lalu. Bagaimanapun ujian kedua yang diberikan kepada saya didapati ia positif.

"Saya sangat kecewa kerana tidak dapat beraksi di Aragon," kata Rossi dalam satu kenyataan.

Rossi yang berada pada tahun terakhir bersama pasukan pengeluar Yamaha, melalui musim sukar apabila sudah terjatuh sebanyak tiga kali sekali gus menyaksikan 'The Doctor' hanya mampu menduduki tangga ke-13 kedudukan pelumba.

"Saya lebih gemar bersikap optimistik dan yakin, tetapi pusingan kedua di Aragon juga kemungkinan tidak dapat beraksi.

"Saya kecewa dan marah kerana sudah melakukan yang terbaik mengikut segala protokol dan meskipun ujian yang dilakukan Selasa lalu negatif, saya tetap menjalani proses kuarantin sendiri sejak tiba dari Le Mans.

"Apapun saya tidak boleh melakukan apa-apa untuk mengubah keadaan. Saya akan mengikuti segala nasihat kesihatan dan kemudian berharap akan pulih sepenuhnya," katanya.

Ketiadaan Rossi satu lagi tamparan hebat untuk Yamaha selepas tidak dapat menggunakan enam staf teknikal mereka di Le Mans minggu lalu apabila salah seorang daripadanya positif Covid-19.

Sumber: Harian Metro

Berita Berkenaan

Gaya Hidup
  "Antara mereka yang mengambil bahagian di litar itu hari ini adalah Valentino Rossi, dengan…
Berita Global
  Untuk itu kami ringkaskan rekod dan pencapaian beliau terutama sekali bersama Yamaha seperti di…
MotorGP
  Kata Rossi, janji yang dibuat kepada peminat bahawa pengumuman rasmi mengenai masa depannya akan…