Supercar yang hadir dengan nadi W16 berkuasa 1,578 hp itu berkeupayaan untuk mencapai kelajuan maksimum melebihi julat 400 km/j (lebih tepat lagi 440 km/j) di laluan seperti Autobahn, membuatkan 'supercar' Malaysia nampak begitu lemah sekali di laluan kanan lebuh raya.
Namun, tipikal supercar yang pantas, ia tidak semestinya praktikal untuk digunakan dalam pemanduan seharian, seperti contoh pandu lalu McDonalds.
Mat Watson dari Carwow mencuba sendiri pemanduan di laluan pandu lalu McDonalds, dan cubaan beliau dibantu oleh pemandu uji Bugatti, Andy Wallace.
Jika kereta biasa mampu melalui lorong pandu lalu itu dalam masa yang singkat, Bugatti Chiron SS menghadapi masalah, sehinggakan pemandu terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk melepasi laluan tersebut.
Sebagai rujukan, sebuah Bugatti Chiron SS memiliki kelebaran melebihi 2 meter (2,183 mm) termasuk dimensi cermin sisi, diikuti dengan saiz tayar yang agak lebar, 285/30 R20 di depan dan 355/25 R21 di bahagian belakang.
Jarak kelegaan tanah adalah setinggi 80 mm di depan, dan 89 mm di belakang, namun Bugatti Chiron SS didatangkan dengan sistem angkat yang mampu meninggikan jarak kelegaan tanah kepada 125 mm.
Anda sudah pasti tidak mahu merosakkan rim magnesium bersaiz 20 (dan 21 inci di belakang) akibat bergeser dengan tembok pembahagi lorong ketika sedang memesan makanan, kosnya sahaja mampu membuatkan anda mengira-ngira syiling di penghujung bulan.
Sumber: Carwow