Produk pertama RUF juga sebenarnya bukan sebuah kereta, sebaliknya sebuah bas persiaran!
Selepas kematian pengasasnya pada tahun 1974, perniagaan RUF diambil alih oleh anaknya Alois Jr. dan kira-kira setahun selepas itu, baharulah model Porsche talaan RUF muncul.
Namun, nama RUF berjaya menggemparkan dunia pada tahun 1987 apabila mereka memperlihatkan kereta produksi paling pantas di dunia, RUF CTR yang lebih dikenali dengan gelaran Yellowbird.
Pada tahun itu, CTR berjaya mencatatkan kelajuan tertinggi 339 km/j, dan setahun kemudian (1988) jentera itu berjaya mencatatkan kelajuan maksimum sepantas 342 km/j!
30 tahun selepas itu, RUF Automobile melancarkan sebuah model peringatan RUF CTR Anniversary pada Mac 2017 bertempat di Geneva Motor Show.

Biarpun mempunyai persamaan rekaan dengan Porsche 911, ia sebenarnya tidak dibina menggunakan asas daripada model Porsche tersebut.
Sebaliknya, ia menggunakan casis monocoque daripada gentian karbon, sub-rangka keluli tiub, sementara rekaan panel luar yang diinspirasikan daripada Porsche 964 itu pula diperbuat daripada lamina gentian karbon.

CTR Anniversary itu dikuasakan oleh nadi flat-6 3.6 liter turbo berkembar sejukan cecair yang mampu menjana 700 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 880 Nm @ 2,750-4,000 rpm, dipadankan dengan transmisi manual tujuh kelajuan dan locking differential.
Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.5 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 360 km/j.

Sejak dari tahun 2019 hingga sekarang, RUF masih lagi meneruskan operasi produksi CTR Anniversary memandangkan keseluruhan proses pemasangan (termasuk casis) dilakukan menggunakan 100 peratus tenaga manusia.
Disebabkan ketelitian proses pemasangan, secara purata RUF Automobile membina kira-kira 30 unit sahaja kereta sepanjang tahun!
Video dokumentari di sebalik tabir RUF Automobile itu anda boleh tonton menerusi saluran YouTube Welt di bawah.