Awal tahun yang lalu, Audi telah memperkenalkan sebuah varian edisi terhad R8 bersempena ulang tahun yang ke-10 penggunaan nadi V10 di dalam jentera tersebut.
Audi R8 V10 Decennium hanya diproduksikan sebanyak 222 unit sahaja dengan harga jualan bermula dari €222 ribu (RM1.029 juta).
Ia merupakan salah satu cara penghargaan yang dibuat oleh Audi, namun bagaimana pula jika seorang artis melakukan perkara yang sama?
Gambar rajah utama yang anda lihat itu sebenarnya merupakan hasil karya Fabian Oefner yang terkenal dengan stail karya imej berpecah kepada komponen-komponen (atau nama Inggerisnya exploded view).
Menggunakan sebuah kamera digital Hasselblad berformat medium, setiap komponen termasuklah bolt dan nat telah dirakam sebelum dimanipulasikan dan disusun secara digital membentuk efek 'meletup' sebagaimana yang anda saksikan dalam video.
Hasilnya, sebuah gambar poster yang sangat cantik, menarik, tertarik kau memang da bomb (maaf, termenyanyi pula).
Bagi mereka yang inginkan poster Audi R8 hasil karya Fabian Oefner, anda boleh mendapatkannya dengan harga $24.95 (RM103.51) di laman web rasmi Audi.
Fabian Oefner sebelum ini pernah melakukan karya yang serupa bagi model Lamborghini Miura, dan Porsche 956 Le Mans Prototype.