Namun, disebalik amaran daripada pihak pengeluar supaya para pemandu tidak mengalihkan tumpuan ketika memandu, masih ramai yang ingkar akan perkara ini dan mengakibatkan kemalangan kerana terlalu bergantung harap kepada sistem Autopilot.
Bagi menunjukkan contoh bagaimana sistem yang tidak begitu matang ni membahayakan pemandu, Thatcham Research telah menerbitkan satu video ringkas yang menampilkan sebuah Tesla Model S 'melanggar' sebuah kenderaan yang statik ketika mod Autopilot dipasang.
Video tersebut menunjukkan Tesla Model S itu tidak sempat untuk mengelak dan terus melanggar kenderaan statik ketika kereta yang diekorinya mengubah haluan untuk mengelakkan kereta yang statik di tengah jalan itu.
Menurut laporan, Thatcham berasa kurang senang dengan penamaan yang digunakan oleh sesetengah pengeluar seperti Autopilot (Tesla) dan ProPilot (Nissan) kerana beranggapan penamaan tersebut kurang membantu orang ramai memahami realiti disebalik ciri bantuan pemanduan yang diiklankan.
Walaubagaimanapun, Tesla dan Nissan masing-masing membalas kenyataan daripada Thatcham dengan menyatakan bahawa kedua-dua sistem tersebut tidak bertujuan untuk menjadikan kereta bebas daripada kemalangan, dan perhatian pemandu sememangnya diperlukan ketika mod (Autopilot dan ProPilot) diaktifkan.