Video: Trak cab-over VS trak long-nose, dan kenapa Amerika suka sangat trak hidung panjang

oleh Mohamad Hanif|
Secara jujurnya, penulis bukanlah seorang peminat tegar kenderaan di dalam kategori lori dan trak.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Apa yang membuatkan penulis mula melihat kepada genre ini ialah pengaruh animasi Transformers di mana watak utama Optimus Prime digambarkan sebagai sebuah trak cab-over Freightliner FLA-8664T 1986.

 

optimus prime


Kemudian animasi popular tersebut diadaptasi menjadi sebuah filem aksi sebenar oleh Michael Bay di mana Optimus Prime mengambil bentuk trak long-nose Peterbilt 397 EXHD 1997, trak cab-over Marmon HDT-AC 86 1973 dan trak long-nose Western Star 5700EX 2013.

Jadi, apa pula beza antara trak cab-over dan long-nose ini? Kenapa Eropah lebih gemar lori cab-over dan kenapa pula trak long-nose sangat popular di Amerika Syarikat?

 


Menurut saluran Truck Tropia, pada awalnya kesemua trak di Eropah perlu mematuhi peraturan yang mengawal panjang keseluruhan trak dan trailer yang digandingkan, di mana peraturan yang sama turut dikuatkuasakan di Amerika Syarikat yang pada ketika itu mengguna pakai trak jenis cab-over.

Namun sejak lewat 1970-an, terdapat perubahan undang-undang di Amerika di mana tetapan tersebut hanya tertakluk kepada panjang trailer sahaja, dan bukan panjang keseluruhan kenderaan.
 

optimus prime


Disebabkan itu, kebanyakan syarikat lori dan pengeluar trak mula beralih kepada trak long-nose yang jauh lebih besar.

Di Eropah, trak cab-over menawarkan kelebihan dari segi medan penglihatan yang besar serta kadar kebolehgerakan yang lebih baik terutama di jalan raya yang agak sempit.
 

actross


Namun di Amerika, trak long-nose menawarkan solusi kepada tahap gegaran dan kebisingan yang dialami oleh pemandu trak cab-over disebabkan oleh posisi enjin yang telah dialihkan ke hadapan.

Selain itu, ia membolehkan pemandu menikmati lebih banyak ruang untuk berehat di dalam kabin, dan tinggi keseluruhan yang lebih rendah yang memudahkan urusan memanjat.

Jarak antara roda yang lebih panjang berbanding trak cab-over juga dikatakan menyumbang kepada aspek keselesaan pemanduan yang lebih baik.
 

volvo


Dari segi keselamatan, kebanyakan trak di Eropah dihadkan kelajuannya kepada 90 km/j namun trak di Amerika dibenarkan untuk memandu pada kelajuan yang lebih pantas.

Disebabkan itu juga model long-nose dipilih bagi menawarkan perlindungan yang lebih berkesan kepada pemandu sekiranya terbabit di dalam insiden yang tidak diingini.
 

trak mack


Jangan tak tahu, trak jenis long-nose ini juga merupakan antara koleksi kegemaran Sultan Johor.