Memperkenalkan, Volkswagen Arteon R-Line Edition 2020.
Sama seperti wagon Volkswagen Passat R-Line Edition yang diperkenalkan pada tahun lalu, Arteon R-Line Edition turut dilayangkan dengan warna Moonstone Grey yang dikontraskan dengan bumbung hitam.
Penampilan agresif Arteon R-Line ini turut diserikan tinted gelap pada tingkap penumpang dan diakhiri dengan set rim Rosario hitam bersaiz 20 inci pada keempat-empat sudut arca roda.
Ruang dalaman pula tampil elegan dengan upholsteri balutan kulit Nappa, sistem pencahayaan ambien, serta dua baris tempat duduk yang dilengkapi sistem pemanas di dalam pakej Winter.
Sistem infotainmen Discover Pro yang hadir turut merangkumi ciri Wireless App-Connect, ciri kawalan suara serta sambungan kepada radio digital DAB+.
Dari segi keselamatan pula, Volkswagen Arteon R-Line Edition ini tidak kurang hebatnya dengan ciri seperti pengesan papan tanda jalan, Park Assist, bantuan penukaran laluan, kawalan pelayaran adaptif, dan juga brek kecemasan autonomi.