Volkswagen Hasilkan 5 Juta Unit Pemacu Elektrik

oleh Qalif Latif|
Volkswagen Group mengumumkan satu pencapaian penting dalam strategi elektrifikasi global apabila berjaya menghasilkan lima juta unit pemacu elektrik di seluruh dunia. Perkembangan ini menunjukkan peningkatan pesat teknologi battery-electric vehicle (BEV) dalam jenama di bawah kumpulan tersebut, sekali gus mengukuhkan kedudukan Volkswagen sebagai antara pengeluar rangkaian kuasa EV terbesar di dunia.

Pengeluaran lima juta unit ini melibatkan beberapa fasiliti utama termasuk Győr di Hungary, Kassel di Jerman, Tianjin di China serta Zuffenhausen di Jerman. Rangkaian pembangunan dan pengilangan yang saling bersepadu membolehkan Volkswagen membangunkan serta menghasilkan sistem pemacu elektrik pada skala besar.

Kilang Kassel di bawah Volkswagen Group Components menjadi antara penyumbang utama apabila meningkatkan pengeluaran sekitar 24 peratus tahun ke tahun pada 2025, mencecah lebih 850,000 unit.

Volkswagen e-Drive

 

APP550 jadi unit pemacu elektrik paling meluas digunakan

Di sebalik pencapaian ini, APP550 merupakan unit pemacu elektrik paling banyak digunakan dalam kumpulan Volkswagen. Ia digunakan pada beberapa model volum tinggi termasuk Volkswagen ID. family, Skoda Enyaq dan CUPRA Tavascan. Setakat ini, satu juta unit APP550 telah dihasilkan di fasiliti Kassel.

Volkswagen e-Drive

 

Walaupun mengekalkan dimensi fizikal sama seperti generasi sebelumnya, APP550 membawa peningkatan besar dari segi prestasi dan kecekapan. Sistem ini menggunakan kira-kira 20 peratus kurang tenaga, menawarkan sekitar 75 peratus lebih tork serta peningkatan output kuasa sekitar 40 peratus.

Dalam produksi bersiri, APP550 mampu menghasilkan sehingga 240 kW dan 560 Nm tork. Ia turut menggunakan sistem penyejukan gabungan minyak dan air untuk pengurusan haba lebih optimum tanpa memerlukan pam tambahan.

Volkswagen bangunkan pulse inverter secara dalaman

Selain meningkatkan jumlah produksi, Volkswagen turut membangunkan pulse inverter pertama secara dalaman, komponen yang dianggap sebagai “otak” kepada sistem pemacu elektrik kerana mengawal aliran tenaga antara bateri dan motor elektrik.

Langkah ini dijangka mempercepatkan inovasi, mengurangkan kos serta meningkatkan kebebasan daripada pembekal luar. Menurut Thomas Schmall, Ahli Lembaga Pengarah Volkswagen Group bagi Teknologi, penghasilan lima juta unit pemacu elektrik menunjukkan kekuatan kumpulan itu dalam segmen ICE dan BEV serta memperkukuh penguasaan teknologi sendiri.

Sokong electric urban car family baharu

Pulse inverter baharu ini akan digunakan dalam Electric Urban Car Family akan datang yang merangkumi model seperti Volkswagen ID. Polo, Skoda Epiq dan CUPRA Raval.

Volkswagen ID. Polo,

 

Model EV kompak ini menggunakan motor APP290 yang dibangunkan dalam kumpulan Volkswagen sendiri, dengan julat kuasa antara 85 kW hingga 166 kW berasaskan seni bina 400V.

Penggunaan silicon carbide semiconductor dalam inverter membantu mengurangkan kehilangan tenaga serta meningkatkan kecekapan keseluruhan. Hasilnya, jarak pemanduan lebih jauh, prestasi lebih stabil dan penggunaan harian yang lebih praktikal khususnya di kawasan bandar.

Volkswagen sasar fasa elektrifikasi seterusnya

Dengan pengeluaran lima juta unit pemacu elektrik serta pembangunan teknologi kritikal secara dalaman, Volkswagen jelas sedang mempersiapkan diri untuk fasa elektrifikasi seterusnya. Gabungan skala pengeluaran, integrasi menegak dan peningkatan kecekapan berterusan dijangka membantu kumpulan ini bersaing lebih agresif di pasaran global.