Tayron pada asasnya adalah pengganti bagi model Tiguan AllSpace untuk pasaran Eropah, di mana ia akan ditawarkan dengan susun atur lima atau tujuh tempat duduk.
Bagaimanapun, Tayron bukanlah nama baharu dalam rangkaian model Volkswagen kerana ianya telah mula diperkenal dan dipasarkan untuk pasaran China sejak tahun 2018.

Dari segi saiz, Tayron diletakkan diantara Tiguan dan abang besarnya iaitu Toureg.
Seperti model Passat dan Tiguan baharu, Tayron turut dibina berasaskan platform MQB EVO di mana ia datang dengan dimensi 4770 mm panjang, 1852 mm lebar, 1660 mm tinggi jarak roda 2791 mm yang membolehkan Tayron memiliki tempat duduk baris ketiga.
Mengekalkan bahasa rekaan model baharu VW, reka bentuk hadapan Tayron hadir dengan gril nipis yang dipadankan dengan unit LED Matrix.

Pada bahagian belakang pula, Tayron tampil dengan lampu LED bersambung dengan elemen pencahayaan LED unik yang direka untuk mempamerkan corak X.
Menariknya, SUV serba baharu itu akan ditawarkan dengan pelbagai pilihan rangkaian trenkuasa seperti petrol TSI dan diesel TDI, serta sistem eTSI mild-hybrid dan eHybrid (PHEV).
Ya, pengguna di Eropah kebiasaannya akan ditawarkan dengan pelbagai pilihan trenkuasa, di mana kereta berenjin diesel antara pilihan popular.

Spesifikasi penuh masih belum didedahkan, namun VW mengesahkan varian eTSI mild hybrid akan menghasilkan 148 HP manakala model PHEV akan menampilkan dua varian dengan dua output kuasa, iaitu 201 HP dan 268 HP.
Varian PHEV akan menampilkan pek bateri 19.7 kWj yang membolehkan jarak sehingga 100 km.
Manakala pilihan kotak gear akan termasuk DSG dan pacuan semua roda 4Motion juga akan ditawarkan.