Volkwagen Passat Variant 2024 - kini dalam bentuk wagon sahaja, pilihan enjin petrol, diesel, hibrid

oleh Mohamad Hanif|
Nama ikonik Passat mungkin sudah tidak wujud di beberapa buah pasaran, namun kenderaan keluarga saiz pertengahan itu masih lagi kekal popular di pasaran Eropah.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Generasi baharu Passat B9 baharu sahaja diperlihatkan secara rasmi oleh Volkswagen dengan menggunakan pelantar MQB Evo yang telah disemak semula (Golf Mk8, Tiguan generasi baharu).
 

Passat


VW Passat Variant 2024 itu kini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,917 mm (+144 mm), lebar 1,852 mm (+20 mm), tinggi 1,506 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,841 mm (+50 mm).

Perubahan dimensi itu tadi turut menyumbang kepada peningkatan ruang kaki dan ruang kargo kepada 690 liter (+40 liter).
 

Passat


Lipat sahaja tempat duduk belakang dan anda akan mendapat ruang kargo sebesar 1,920 liter, atau peningkatan sebanyak 140 liter berbanding Passat Variant terdahulu.

Rekaan luaran wagon Passat ini nampaknya mengambil pendekatan yang lebih selamat tanpa elemen yang keterlaluan, memandangkan ia sebenarnya berkongsi banyak persamaan dengan model Skoda Superb yang bakal dilancarkan kelak.

Cuma di bahagian hadapan, VW telah memberikan rupa paras yang seiring dengan model-model ID yang lain, diikuti dengan penawaran rim bersaiz sehingga 19 inci, serta unit lampu LED matrix di depan dan lampu LED dinamik di bahagian belakang.
 

Passat


Untuk ruang kabin, VW dikatakan telah meringkaskan lagi susun atur sedia ada dengan membuang kebanyakan butang fungsi dan digantikan dengan skrin sentuh (saiz antara 12.9 inci hingga 15 inci), diikuti dengan skrin kluster 10.25 inci, sementara tombol penukaran gear pula diletakkan pada bahagian kanan kolum stereng.

Disebabkan itu, terdapat ruang yang besar tersedia di bahagian konsol tengah untuk meletakkan barangan peribadi.

Pembeli juga boleh mendapatkan opsyen untuk menambah ciri seperti tempat duduk 14 larasan dengan fungsi pemanasan dan ventilasi, serta fungsi urut.
 

Pas


Di Eropah, terdapat beberapa pilihan enjin petrol tersedia seperti berikut:
-enjin 1.5 liter eTSI (148 hp) dengan teknologi penyahaktifan silinder
-enjin 2.0 liter TSI (201 hp)
-enjin 2.0 liter TSI (261 hp) dengan sistem pacuan semua roda 4Motion

Peminat enjin diesel boleh mendapatkan nadi 2.0 liter TDI dengan pilihan talaan kuasa:
-121 hp dengan sistem pacuan roda depan
-148 hp, sistem pacuan roda depan
-190 hp dengan sistem pacuan semua roda 4Motion

Kesemua pilihan enjin yang disebutkan itu tadi datang dengan padanan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.
 

Hybrid


Selari dengan perkembangan semasa, VW Passat Variant juga boleh didapati dalam versi plug-in hibrid "eHybrid", dengan enjin 1.5 liter TSI, transmisi DSG enam nisbah kelajuan dan pek bateri 19.7 kWh.

Versi asas mampu menghasilkan kuasa 201 hp dan 350 Nm, sementara varian yang lebih berkuasa mampu menjana kuasa 268 hp dan 400 Nm.

Wagon ini juga mampu bergerak sejauh 100 km tanpa menggunakan setitik minyak, selain menyokong pengecasan pantas 50 kW di mana pengecasan 10-80 peratus boleh diselesaikan dalam masa 25 minit sahaja.
 

Oassat


Dengan kapasiti penuh bateri dan tangki bahan api sebesar 45 liter, wagon Passat Variant PHEV ini mampu bergerak sejauh 1,000 km.

Volkswagen Passat Variant 2024 dijangka akan mula dijual pada suku pertama tahun hadapan.