Volvo Cars Safety Centre sambut ulang tahun yang ke-20

oleh Mohamad Hanif|
Tahun ini, Volvo Cars Safety Centre menyambut ulang tahun yang ke-20 selaku pusat pengujian pelanggaran yang paling termaju di dunia ketika awal pembukaannya.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Secara purata, pusat pengujian pelanggaran ini 'menghancurkan' sekurang-kurangnya sebuah kereta baharu Volvo untuk sehari sebagai langkah untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan baharu, serta mengekalkan status Volvo sebagai peneraju di dalam keselamatan automotif.

Ternyata, segala pengalaman yang diperoleh hasil daripada ujian yang dijalankan membantu para jurutera Volvo Cars untuk memastikan 'tiada siapa yang tercedera atau terbunuh di dalam sebuah kereta baharu Volvo'.

Menurut Thomas Broberg, jurutera keselamatan Volvo Cars berkata, "adalah menjadi komitmen kami untuk mengetahui bagaimana dan kenapa kemalangan dan kecederaan berlaku, seterusnya membangunkan teknologi bagi mengelakkannya daripada berlaku.

 


"Kami berharap hasil kerja kami akan memberikan inspirasi kepada yang lain, selaras dengan cita-cita kami untuk mengurangkan korban lalu lintas di seluruh dunia.

Makmal pengujian pelanggaran Volvo Cars Safety Centre merupakan sebuah fasiliti berbilang fungsi yang membolehkan para jurutera untuk 'mencipta' pelbagai jenis situasi trafik dan kemalangan yang terdiri daripada litar ujian sepanjang 108 meter dan 154 meter panjang.

Litar ini boleh diubah dan diposisikan pada sudut bermula dari sifar sehingga 90 darjah, di mana ia amat berguna untuk ujian simulasi pelanggaran antara dua buah kenderaan dengan kelajuan sehingga 120 km/j.

 


Di luar, terdapat ruang untuk menjalankan ujian lain seperti pelanggaran roll-over, serta situasi terkeluar daripada laluan di mana kereta dihumbankan ke dalam saluran parit pada kelajuan tinggi.

Ruang dewan utama pula menampilkan penggunaan penghadang pelanggaran seberat 850 tan untuk ujian seperti pelanggaran hadapan, pelanggaran sisi, dan juga pelanggaran belakang.

Malah, terdapat penghadang kekal dan mudah alih yang digunakan untuk ujian sampingan, termasuklah struktur seakan seekor rusa untuk ujian pelanggaran yang melibatkan haiwan liar.

Segala data pelanggaran diperoleh daripada puluhan kamera berdefinisi tinggi, serta penderia yang dipasang pada kereta, patung dummy, dan penghadang yang membenarkan para jurutera untuk menganalisa keadaan selepas ujian dijalankan, serta membandingkannya dengan ujian simulasi berkomputer yang telah dijalankan sebelum itu.