EX30 menjadi ahli baharu SUV elektrik Volvo dengan saiz paling kecil, di mana ia membawakan dimensi 4,233 mm panjang, 1,837 mm lebar, 1,555 mm tinggi dan jarak roda sepanjang 2,650 mm.
Mengekalkan reka bentuk Scandinavia ikonik Volvo, EX30 menampilkan hud rendah, lampu depan dan fender lebih lebar, roda besar dan jarak kelegaan tanah 171mm.
Reka bentuk luaran EX30 itu turut menerapkan rekaan seperti abang besarnya iaitu EX90, menampilkan lampu hadapan utama yang terbina bersama DRL tanpa jeriji, serta rekaan lampu belakang terpisah.
Semua ciri itu membolehkan reka bentuk aerodinamik (Cd = 0.28) yang menyumbang kepada kecekapan tenaga lebih tinggi dan membolehkan jarak gerak lebih jauh.
Untuk pasaran Malaysia, EX90 ditawarkan dengan 3 varian iaitu Plus (RWD), Ultra (RWD) dan varian paling berkuasanya Ultra Twin Performance (AWD)
Varian paling mampu milik dan pertengahan, EX30 Plus dan Ultra menggunakan motor elektrik tunggal pada roda belakang (RWD) menghasilkan 272 PS dan 343 Nm dengan jarak gerak sejauh 476 km, di mana pecutan 0-100 kmj boleh dicapai dalam 5.3 saat.
Manakala varian paling berkuasanya, Ultra Twin Performance menggunakan dua motor elektrik (AWD) yang menghasilkan 428 PS dan 543 Nm dengan jarak gerak sejauh 450 km, di mana pecutan 0-100 kmj boleh dicapai dalam 3.6 saat sahaja!
Ketiga-tiga varian dikuasakan dengan pek bateri yang sama iaitu NMC (Nickel Manganese Cobalt) berkapasiti 69 kWj, di mana ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 153 kW, membolehkan pengecasan 10 hingga 80 peratus dalam masa 26.5 minit.
Untuk pasaran Malaysia, tiga varian yang ditawarkan hadir dengan ciri seperti berikut:
EX30 Plus
- Naik taraf Pilot Assist
- Sistem bunyi premium Harman Kardon
- Sistem lampu ambien
- Teknologi Safe Space
EX30 Ultra
(tambahan kepada ciri di atas)
- Pilot Assist parkir
- sistem kamera 360 darjah
- Tempat duduk hadapan jenis kuasa
- Bumbung panaromik
EX30 Ultra Twin Performance
(tambahan kepada ciri di atas)
- Motor elektrik berkembar (AWD)
Ruang kabin Volvo EX30 turut menerapkan aspek elemen rekaan Scandinavia, di mana ia hanya menampilkan skrin tengah tunggal sebesar 12.3 inci, serta pembesar suara jenis soundbar pada bahagian atas papan pemuka.
Volvo bekerjasama dengan rakan teknologi seperti Google, Apple dan Qualcomm untuk mencipta pengalaman pengguna yang terbaik, seperti sokongan kemaskini over-the air, kunci digital, serta beberapa perkhidmatan berkaitan dengan kereta seperti pengecasan, fungsi pemanasan dan sebagainya.
Menariknya, bahagian dalaman EX30 menggunakan pelbagai jenis bahan kitar semula dan boleh diperbaharui untuk tempat duduk, papan pemuka dan pintu, termasuk bahan seperti denim, rami dan adunan bulu yang juga mengandungi kira-kira 70 peratus poliester kitar semula.
Selain itu, walaupun binaan EX30 menggunakan kurang keluli dan aluminium, lebih banyak daripadanya juga merupakan kandungan kitar semula.
Kira-kira 17 peratus daripada semua plastik di dalam kereta, daripada komponen dalaman hingga bampar luaran, dikitar semula, di mana ia merupakan peratusan tertinggi dalam mana-mana kereta Volvo setakat ini.
Untuk pasaran Malaysia, Volvo EX30 ditawarkan bermula dari RM188,888 untuk varian Plus, RM208,888 untuk varian Ultra dan RM228,888 untuk varian Ultra Twin Performance.
Volvo Car Malaysia turut menawarkan waranti kenderaan selama 5 tahun serta waranti 8 tahun untuk komponen bateri voltan tinggi.