Volvo P1800 Cyan - restomod dengan nadi perlumbaan S60 TC1, 413 kuasa kuda!

oleh Mohamad Hanif|
Jangan ingat Volvo sebagai sebuah syarikat automotif yang sinonim dengan kereta bentuk kotak sahaja (dan lampu Thor) ya, ini kerana model yang dipaparkan ini adalah berdasarkan daripada model klasik Volvo P1800 yang pernah dihasilkan antara tahun 1961-1972.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Jelmaan P1800 zaman moden ini dinamakan sebagai Volvo P1800 Cyan, dan ya, ia sebenarnya dibangunkan oleh Cyan Racing, divisyen perlumbaan rasmi Geely.

 


Segala pengalaman dan ilmu pengetahuan yang ada pada Cyan Racing dicurahkan ke atas pembangunan Volvo P1800 Cyan ini, dan hasilnya, sebuah casis yang memiliki berat di bawah 1 tan (990 kg sahaja!).

Unit enjin pula adalah berdasarkan enjin perlumbaan Volvo S60 TC1 iaitu nadi 2.0 liter empat silinder sebaris turbo yang mampu menghasilkan 413 kuasa kuda dan 455 Nm daya kilas, dengan garis merah 7,700 rpm di mana ia dipadankan dengan transmisi manual jenis dog-leg lima nisbah kelajuan dari Holinger.

Walaupun berkuasa turbo, Cyan Racing membangunkannya bagi menjadikan pengedaran kuasa yang linear serta keluk daya kilas yang hampir menyamai sebuah enjin aspirasi natural.
 


Kerangka luar badan asal telah diubah suai dan diperbuat daripada gentian karbon bagi memuatkan jarak trek yang lebih lebar, sekaligus mampu menampung roda yang lebih besar, manakala casis turut direka semula dan diperkuat menggunakan keluli berkekuatan tinggi dan gentian karbon.

Sistem gantungan pula adalah jenis double wishbone depan dan belakang menampilkan penyerap hentak boleh laras sepenuhnya pada keempat-empat sudut.

Menurut Christian Dahl, CEO dan pengasas Cyan Racing berkata, "pada asalnya kami mampu membina sebuah Volvo P1800 berkuasa elektrik, penuh dengan teknologi terkini, lebih selesa dan lebih mewah. Namun, ia bukanlah apa yang kami mahukan."

 


Volvo P1800 Cyan akan dihasilkan dalam unit terhad di mana produksi sampel pertama hanya akan bermula pada musim luruh ini.

Harga jualan pula bermula dari $500,000 (RM2.07 juta).

Mahal? Tepuk dada, tanya akaun bank anda!

Anda mungkin boleh berkata, "baik beli model sekian sekian" namun harus diingat, ia merupakan sebuah model dengan elemen kejuruteraan yang sangat tinggi daripada pasukan yang pernah memenangi World Touring Championship sebanyak tiga kali!