Dengan pengenalan model ini, ia sekaligus merangkap kehadiran subjenama baharu Volvo - Recharge dan bakal disertai oleh model-model Volvo yang boleh dicaj termasuklah model plug-in hybrid dan EV.
Sama seperti varian XC40 yang telah pun diperkenalkan sebelum ini, Volvo XC40 Recharge dibangunkan menggunakan platform CMA dan dilengkapkan dengan bateri berkapasiti 78 kWh yang diposisikan di bawah lantai.
Dengan konfigurasi dua motor elektrik, SUV ini berupaya menghamburkan 402 kuasa kuda dan 660 Nm serta mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat.
Volvo mendakwa crossover elektrik pertama ini mampu mencapai jarak operasi sejauh 400 kilometer, dan dengan sistem pengecasan standard 11 kW, kapasiti penuh boleh dicapai dalam masa bawah lapan jam sahaja.
Namun, Volvo juga turut menawarkan pengecasan pantas 150 kW yang membolehkan kapasiti 80 peratus dicapai dalam masa 40 minit.
Tidak banyak perkara yang membezakan antara Volvo XC40 biasa dan Recharge ini selain daripada pemakaian gril radiator 'kosong' serta jenama 'Recharge' yang ditampilkan pada tiang C SUV ini.
Di bahagian dalaman pula, tidak banyak perubahan ketara melainkan sistem infotainmen yang pertama kalinya menggunakan sistem operasi Android HMI (Human Machine Interface).
Harga jualan Volvo XC40 Recharge ini bermula dari £53,155 (RM283,517), namun disebabkan harganya melebihi paras £50,000, ia tidak layak untuk menerima geran plug-in bernilai antara £500 ke £3,000 (RM2,700 - RM16 ribu) daripada Kerajaan UK bermula 12 Mac ini.