XC90 adalah model pertama dalam program transformasi Volvo Cars dengan platform, nadi kuasa dan teknologi keselamatan yang dibangunkan sendiri.
Melalui XC90, Volvo memperkenalkan wajah baharu yang diserlahkan dengan lampu utama Thor dan platform Scalable Product Architecture. Itu belum pelbagai teknologi canggih yang dimuatkan kepada SUV ini.
Hasilnya sedang dituai Volvo apabila XC90 berjaya dijual lebih daripada 320,000 unit di serata dunia.
Untuk mendepani beberapa tahun lagi hayat kitaran produk, Volvo Cars memperkenalkan XC90 yang dikemaskini.
Masih sama tanpa perubahan besar-besaran kecuali tambahan pilihan enjin dan sedikit perbezaan kosmetik.
Buat kali pertama XC90 ditawarkan sistem pembrekan pemulihan tenaga kinetik termaju yang dipadankan bersama enjin sedia ada bagi mewujudkan nadikuasa elektrifikasi bersepadu.
Pakej baharu ini dinamakan sebagai B dan menawarkan 15 peratus penjimatan bahan api dan pengurangan emisi dalam pemanduan sebenar di atas jalan raya.
Sistem brek dengan wayar (brake by wire) baharu berinteraksi dengan sistem pemulihan tenaga dan mengurangkan penggunaan bahan api dan emisi melalui penghasilan tenaga kinetik sewaktu membrek.
Pengenalan XC90 dengan teknologi B ini mewakili langkah besar Volvo Cars dalam misi kenderaan elektrifikasi.
Model dengan siri B akan menjadi tawaran baharu kepada model sedia XC90 T8 Twin Engine plug-in hybrid.
Pada bahagian luaran, perubahan hanya minimum iaitu pada gril dengan corak baharu yang lebih menyerlah, roda, warna dan corak dalam lampu depan Thor dan belakang.
Dari segi teknologi keselamatan aktif, XC90 kini dilengkapi stereng automatik dalam pakej City Safety dan Blind Spot Information System.
Teknologi City Safety dengan Autobrake masih lagi yang pertama seumpamanya di pasaran yang mampu mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan bersaiz besar.
Teknologi Oncoming Lane Mitigation yang pertama kali diperkenalkan pada XC60 turut dilengkapi pada XC90 manakala teknologi Cross Traffic Alert kini didatangkan dengan brek automatik.
Kesemua teknologi ini dan gabungan ciri-ciri lain menjadikan XC90 salah satu daripada kereta paling selamat di dunia.
Sistem hiburan pula yang sebelum ini hanya dengan sambungan Apple CarPlay kini boleh dihubungkan bersama Android Auto.
Volvo XC90 2019 akan mula dikeluarkan di kilang Torslanda, Sweden bermula Mei depan dengan penghantaran kepada pelanggan bermula akhir suku kedua tahun ini.
Di pasaran tempatan, harga Volvo XC90 bermula dari RM403,888.
Penulis: Muhammad Md Tajudin