Sepasang lampu sudah cukup untuk menjadikan XC90 sebagai topik perbualan.
Volvo sebenarnya berpegang pada konsep rekaan tak berwaktu (timeless) dan bayangkan XC90 pertama kali diperkenal pada 2014.
Satu tempoh yang lama dan mungkin mengulangi generasi pertama yang dikeluarkan dari 2002 sehingga 2014.
Dari XC90 juga rekaan Volvo terus berkembang sehingga EX30 terbaru dan masih mengekalkan gaya sama.
Volvo adalah contoh bagaimana rekaan tak berwaktu dimanfaatkan dan berjaya.
Walaupun begitu tidak semua pengeluar boleh mengambil prinsip sama terutama sekali jenama baharu (dan tidak berapa baharu) yang perlu menarik perhatian ramai.
Mungkin ini juga sebab mengapa model dari syarikat China tampil dengan rekaan agresif.
Kitaran hayat XC90 akan terus bersambung selepas Volvo memperkenalkan model rupa baharu pada 5 September dan lebih ketara berbanding tahun 2019.
Jika dahulu lampu bentuk T dijadikan tumpuan, kali ini jeriji baharu dengan corak condong ke bawah dan bersilang.
Jeriji itu dipadankan pula dengan bampar baharu dan menariknya kali ini lebih agresif melalui taring pada kanan dan kiri dan bukaan bawah yang ternganga.
Volvo perlu juga bersikap realistik dengan ikutan semasa ditambah kitaran hayat produk yang terus bersambung meskipun model elektrik EX90 sudah berada di pasaran.
Rekaan lampu diperbaharui dan keseluruhan rupa depan menampakkan XC90 yang segar.
Sisi kereta nampak sama seperti sebelum ini dan Volvo menawarkan rim corak baharu dalam saiz 20 dan 22 inci.
Jika rupa depan berubah ketara, bahagian belakang kekal sama sama kecuali corak lampu seperti busur dan lebih gelap.
Perubahan bahagian dalam pula boleh dilihat dengan jelas pada skrin baharu 11.2 inci yang lebih besar dan diapit corong penyaman udara menegak.
Nampak sama tetapi papan pemuka berbeza dan lebih melintang daripada sebelum ini termasuk kotak panel suis di bawah skrin.
Sewaktu diperkenal pada 2014, tombol gear kristal Orrefors juga menjadi topik perbualan.
Pereka Volvo telah menambah ruang simpanan pada konsol tengah termasuk tambahan pemegang cawan dan pad pengecasan baharu dan lebih praktikal.
Pelanggan ditawarkan sistem audio Bowers & Wilkins untuk bunyian bermutu.
Berkenaan rangkaian kuasa, XC90 kekal digerakkan enjin hibrid plug-in (PHEV) dan hibrid ringan berikut:
2.0 liter turbo T8 AWD PHEV
- 310 ps, 400Nm
- Motor elektrik 145 ps, 309Nm
- Kotak gear automatik lapan kelajuan
- Kuasa keseluruhan 455 ps
- Jarak pemanduan elektrik lebih 70 km
2.0 liter turbo hibrid ringan B5 dan B6
- 250 ps, 360Nm (B5), 299 ps (B6)
- Bateri litium-ion 48V
- Penghidup/penjana bersepadu (ISG)
- Membantu mengurangkan emisi dan penggunaan bahan api sehingga 15 peratus
Dari segi pengendalian, Volvo telah menambah baik ampaian dan setiap peredam beroperasi dengan membuat penyesuaian secara mekanikal mengikut keadaan jalan.
Sistem ampaian udara pilihan berfungsi bersama casis aktif dalam mengawasi kereta, jalan dan pemandu pada kadar 500 kali per saat untuk keselesaan sebaik mungkin.
Ampaian udara boleh direndahkan sebanyak 20 milimeter (mm) atau dinaikkan 40 mm mengikut keadaan seperti keluar dan masuk kereta, aerodinamik dan jalan yang mencabar.
Volvo juga menambah tebatan bunyi pada beberapa bahagian kereta untuk bunyi angin dan jalan lebih senyap.
Pelanggan di Eropah sudah boleh menempah XC90 2025 dan pengeluaran dijangka bermula pada suku akhir 2024 dan penghantaran sebelum 2025.
Untuk pasaran tempatan pula, perlu tunggu pengesahan dari Volvo Car Malaysia kerana XC90 dipasang di Shah Alam, Selangor sejak generasi pertama lagi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin