Baru-baru ini, Volkswagen telah menghasilkan sesuatu yang boleh dikatakan unik dan pelik untuk sebuah syarikat pembuat kereta.
Melalui hasil kerjasama bahagian kenderaan komersial Volkswagen dan syarikat strategi kreatif, Volkswagen telah menghasilkan kerusi pejabat elektrik yang mempunyai fungsi hampir sama seperti kereta!
Kerusi pejabat ini didatangkan dengan fungsi unik seperti pemanas, lampu LED, sistem infotainment dan boleh dipandu.
Selain fungsi canggih, kerusi ini juga dilengkapi dengan tali pinggang keledar sebagai keselamatan. Semua fungsi ini boleh dikawal melalui panel kawalan pada bahagian kanan yang mempunyai butang, tombol dan suis fizikal.
Sistem infotainment pula boleh diakses pada bahagian kiri yang menghubungkan sistem audio. Bahagian belakang juga dilengkapi dengan lampu signal.
Melalui skrin infotainment juga, ia menghubungkan kamera pandang belakang untuk fungsi mengundur bersama sensor 360 darjah yang membantu anda memerhati keadaan sekeliling.
Jika anda bekerja di pejabat yang besar dan malas untuk berjalan bagi urusan kerja, kerusi ini mungkin produk yang sesuai untuk dibeli.
Kerusi pejabat elektrik Volkswagen ini dilengkapi dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan kelajuan sehingga 20 km/j! Pastinya sudah terlebih laju untuk sebuah kerusi pejabat.
Selain itu, kerusi ini juga dilengkapi dengan bateri boleh cabut, yang mampu memberikan jarak perjalanan sehingga 12 km. Sudah pasti ianya jarak yang mencukupi untuk kegunaan di pejabat.
Jika kerusi elektrik ini ditawarkan untuk pasaran Malaysia, harganya pasti mampu mengalahkan harga bagi sebuah kapcai paling mahal di Malaysia. Tidak hairanlah dengan ciri dan fungsi unik yang dihadirkan oleh Volkswagen untuk kerusi itu.
Sumber: yankodesign
Penulis: Ahmad Danial Yasin