Waja melambung atas bumbung garaj sebelum hempap 3 kereta lain

oleh SALINA JALIL|
Bagaikan babak dalam filem aksi apabila sebuah kereta Proton Waja melambung ke atas bumbung garaj dan jatuh menghempap tiga kenderaan selepas terbabas di Jalan Batu Berendam di Melaka, semalam (Selasa).


Nahas pada 2.30 pagi itu dipercayai berlaku apabila pemandunya, Jeremy Ong Chin Shen, 35, hilang kawalan menyebabkan kenderaan itu terbabas ke kiri jalan lalu merempuh paip air dan motosikal milik pekerja sebuah kilang di situ.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kesan kemalangan itu menyebabkan mangsa yang bekerja sendiri parah dan kini dirawat di zon merah Hospital Melaka (HM).

 

"Siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari arah Peringgit menghala ke Batu Berendam untuk pulang ke rumah.

"Bagaimanapun, tiba-tiba keretanya hilang kawalan lalu melanggar paip air di sebelah kiri jalan dan terbabas melanggar motosikal serta melambung di atas bumbung parkir kenderaan Kilang CentralCable lalu menghempap tiga kereta lain.

 

"Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan dalaman dan masih menunggu rawatan 'CT Brain' di zon merah HM.

 

"Motosikal dan tiga kereta dihempap itu adalah milik operator kilang terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini (Rabu).

 

Menurut Christopher, pegawai penyiasat sudah mengambil sampel darah pemandu terbabit untuk ujian alkohol dan dadah dalam darah.

 

"Setakat ini belum ada saksi kejadian hadir untuk memberi keterangan dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

 

Terdahulu, tular satu video berdurasi 23 saat memaparkan nahas itu di media sosial yang mendapat pelbagai reaksi warganet.

 

 

Harian Metro