Wanita Maut Kereta Terperosok Bawah Lori

oleh Penyumbang Rencana 2|
SEORANG wanita maut selepas kenderaan yang dipandunya remuk dirempuh lori muatan makanan ayam yang dipercayai terbabas di Jalan Jelapang, Ipoh pagi tadi.

Mangsa, Noor Aishah Mohd Tahir, 26 tahun yang memandu Proton Persona cedera parah pada bahagian kepala dan disahkan maut di lokasi kejadian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Zon 1 Bomba dan Penyelamat Jelapang, Nor Rasidamayati Abd Rasid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.28 pagi memaklumkan mengenai kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian terdapat satu kereta yang berada di bawah lori dan terdapat seorang mangsa wanita di dalam kenderaan terbabit. Mangsa didapati mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan anggota menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia oleh pihak petugas kesihatan.
 

mangsa berjaya dikeluarkan setelah mengalihkan lori


“Anggota turut membersihkan tumpahan minyak di kawasan terbabit dan memotong punca elektrik yang berada di kawasan sekitar bagi memastikan operasi berjalan dengan selamat,” katanya.

Menurut Nor Rasidamayati, bomba menghadapi sedikit kesukaran untuk mengeluarkan mangsa kerana lori yang membawa muatan makanan ayam itu menghempap kereta.

Katanya, bomba terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat lori berkenaan bagi mengeluarkan mangsa dari dalam keretanya yang remuk.

"Operasi dengan kekuatan tujuh anggota mengambil masa selama empat jam setengah untuk melakukan operasi mengeluarkan mangsa dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 2.08 petang," katanya.

Nor Rasidamayati berkata, lori terbabit dipercayai dari arah lebuhraya Ipoh–Lumut menghala ke Sungai Siput.

Tiba di persimpangan lampu isyarat Jalan Jelapang pemandu lori terbabit hilang kawalan dan telah masuk laluan bertentangan dan merempuh kenderaan dipandu mangsa.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.

Pemandu lori berusia 44 tahun telah ditahan untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 

 

Artikel oleh Hamimah Hamid dan Mohd UmzarulFaiz Umar