Difahamkan ketika kejadian mangsa yang bekerja sebagai jurujual dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Bandar Utama Gua Musang manakala lori balak berkenaan dalam perjalanan ke Kuala Lipis.
Tunang mangsa, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, berkata dia menerima panggilan daripada seorang rakan yang kebetulan berada di tempat kejadian.
Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, dia bergegas ke Hospital Gua Musang (HGM) dan dilaporkan dalam keadaan tidak stabil.
"Saya sempat melihat keadaan tunang yang menerima rawatan di Unit Kecemasan dan doktor memaklum dia tidak stabil.
"Sehingga kini saya masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. Saya mengharapkan doa daripada orang ramai supaya tunang selamat," katanya ketika ditemui di Hospital Gua Musang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo mengesahkan kejadian yang berlaku.
Tular satu video berdurasi 2.33 minit itu memaparkan seorang wanita yang berhenti di lampu Isyarat sebelum lori muatan balak terbalik dan merempuh motosikalnya menyebabkan mangsa tersepit di antara sebuah trak pikap dengan kayu balak.
Pengguna jalan yang menyaksikan kejadian itu kemudiannya membantu mengalihkan trak pikap berkenaan sebelum mangsa dibawa ke hospital dengan ambulans.