Warga asing bawah pengaruh dadah langgar pagar istana

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari Sinar Harian
Polis menahan seorang lelaki yang disyaki memandu di bawah pengaruh dadah dan melanggar dua kereta sebelum merempuh pagar istana di Kilometer 2.3 Jalan Skudai, Pantai Lido di Johor Bahru pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 5.28 pagi melibatkan kereta jenis Audi warna emas dipandu seorang lelaki warga asing berusia 20-an.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Lelaki berkenaan memandu dari pusat bandar menghala ke Skudai bersama-sama dua penumpang dan apabila tiba di tempat kejadian gagal mengawal kenderaan di kawasan selekoh sebelum terbabas masuk ke jalan bertentangan.

"Kereta warga asing itu kemudian melanggar teksi jenis Proton Persona warna putih merah dan Perodua Aruz warna biru sebelum merempuh pagar istana di bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pemandu warga asing tersebut mengalami cedera ringan manakala pemandu teksi dan pemandu Perodua Aruz tidak cedera.

Katanya, pagar istana mengalami kerosakan akibat perlanggaran tersebut sementara kereta warga asing tersebut terbalik.

"Hasil ujian air kencing terhadap suspek mendapatinya positif dadah jenis methaphetamine dan kes disiasat bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987," ujar beliau.

Raub meminta orang ramai yang melihat kejadian tersebut supaya memberikan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan atau berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Hafiz Jaafar Mad Ariff 017-5919208.

warga
Kereta warga asing terbalik selepas melanggar dua kereta sebelum merempuh pagar istana 

Sinar Harian