Warga Singapura mabuk rempuh restoran dipenjara dua hari, denda RM12,000

oleh Penyumbang Rencana|
foto kejadian/foto kecil Sinar Harian
Seorang lelaki warga Singapura dipenjara dua hari dan didenda RM12,000 selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk sehingga merempuh sebuah kedai makan dan sebuah kenderaan di Jalan Abdullah Tahir, di Johor Bahru pada 5 Mac lalu.

Majistret, Nur Fatin Mohamad Farid menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Sim Kok Siong Daniel, 46, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan pindaan dibacakan dalam bahasa Mandarin.

Jika gagal membayar denda berkenaan, dia akan dikenakan hukuman penjara selama tujuh bulan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, pemandu grab di republik berkenaan didakwa memandu kenderaan dengan kandungan alkohol 165 miligram dalam 100 mililiter darah, iaitu melebihi had ditetapkan.

Dia didakwa di bawah Seksyen 45(A)(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM30,000, penjara sehingga dua tahun serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua tahun.

Terdahulu, Kok Siong yang tidak diwakili peguam bela meminta maaf dan mengaku telah insaf atas perbuatannya serta berjanji tidak mengulanginya lagi.

“Saya bekerja sebagai pemandu Grab di Singapura dengan pendapatan S$5,000 sebulan. Saya juga menanggung isteri yang tidak bekerja dan tiga anak yang masih belajar. Saya tidak mampu membayar denda yang tinggi atau dipenjarakan kerana saya merupakan satu-satunya pencari rezeki dalam keluarga,” katanya seperti diterjemahkan jurubahasa.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman tersebut selain melucutkan hak tertuduh memiliki lesen memandu tempatan selama dua tahun bermula tarikh sabitan.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, suspek kemudian berjaya ditahan oleh anggota trafik dari Balai Polis Bayan Lepas di…
Berita Domestik
Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pemandu kereta telah memandu kenderaan itu dengan kandungan…
Berita Domestik
"Siasatan awal mendapati mangsa yang sedang bertugas itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam…