Menurut laporan, Nada yang kini berusia 61 tahun akan melepaskan jawatannya sebagai Corporate Executive for Special Projects bermula 1 April 2026, sekali gus menamatkan perjalanan panjangnya bersama Nissan selepas menjadi antara watak paling kontroversi dalam sejarah moden syarikat automotif Jepun itu.
Nama Hari Nada mula meledak selepas kes Carlos Ghosn
Untuk rekod, nama Hari Nada mula menjadi perhatian global apabila beliau dikaitkan secara langsung dengan siasatan dalaman Nissan yang akhirnya membawa kepada penahanan Carlos Ghosn pada November 2018 di Lapangan Terbang Haneda, Tokyo.
Ketika itu, penahanan Ghosn mengejutkan dunia automotif antarabangsa memandangkan beliau sebelum ini dianggap sebagai “penyelamat” Nissan selepas berjaya mengeluarkan syarikat tersebut daripada kemelut kewangan pada era awal 2000-an.
Namun, kejatuhan Ghosn berlaku secara dramatik apabila beliau dituduh menyalahgunakan kedudukannya dalam syarikat bagi kepentingan peribadi.

Carlos Ghosn, dari wira korporat ke tertuduh
Carlos Ghosn bukan nama kecil dalam industri automotif global. Sebelum menerajui Nissan, beliau terlebih dahulu dikenali kerana membantu Renault keluar daripada tekanan kewangan pada penghujung 1990-an.
Apabila beliau mengambil alih peranan penting di Nissan, ramai melihatnya sebagai tokoh luar biasa yang berjaya mengubah syarikat Jepun itu menjadi antara pemain utama dunia. Namun begitu, status beliau sebagai “orang luar” dalam budaya korporat Jepun dikatakan tidak begitu disenangi oleh sebahagian pemimpin dalaman Nissan.
Kedudukan Ghosn menjadi semakin berpengaruh apabila beliau mengetuai pakatan Renault-Nissan, yang kemudian diperluaskan dengan penyertaan Mitsubishi pada 2016. Ketika itu, gabungan tersebut menghasilkan lebih 10 juta kenderaan setahun, menjadikannya antara pakatan automotif terbesar dunia.

Ketegangan dalam pakatan Renault-Nissan
Di sebalik kejayaan itu, hubungan antara Nissan dan Renault dikatakan semakin tegang, khususnya apabila kerajaan Perancis yang mempunyai pegangan dalam Renault meningkatkan pengaruhnya terhadap syarikat itu sekitar 2015.
Situasi tersebut menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan pengurusan Nissan di Jepun, yang melihat keputusan-keputusan penting pakatan semakin dipengaruhi oleh kepentingan politik dan korporat dari Perancis.
Lebih membimbangkan mereka ketika itu ialah kemungkinan pengukuhan lagi kuasa Ghosn dalam pakatan tersebut, termasuk rancangan untuk mengembangkan lagi kerjasama strategik bersama pengeluar lain seperti Fiat.
Pertuduhan terhadap Ghosn
Carlos Ghosn kemudiannya berdepan beberapa pertuduhan serius di Jepun, termasuk didakwa melaporkan pendapatannya lebih rendah daripada jumlah sebenar.
Beliau didakwa gagal mengisytiharkan pampasan bernilai sekitar AS$44 juta dalam tempoh empat tahun, sebelum angka keseluruhan yang dikaitkan dengan dakwaan penyalahgunaan kewangan itu meningkat kepada kira-kira AS$80 juta.
Selain itu, beliau turut berdepan dakwaan pecah amanah, termasuk menggunakan dana syarikat untuk tujuan peribadi, memindahkan kerugian pelaburan peribadi kepada Nissan, serta menyalurkan wang syarikat kepada rakan niaga di Arab Saudi.
Peranan Hari Nada dalam siasatan
Dalam keseluruhan episod itu, Hari Nada memainkan peranan yang sangat besar.
Sebagai Senior Vice President Nissan ketika itu, beliau pernah bekerja rapat dengan Ghosn dan Greg Kelly. Namun pada 2018, Nada dilaporkan mula menyerahkan pelbagai maklumat berkaitan urusan kewangan Ghosn kepada pihak berkuasa Jepun.
Beliau kemudian bekerjasama dengan pendakwa raya Tokyo dalam siasatan tersebut, termasuk memberi keterangan terhadap Ghosn dan Kelly menerusi perjanjian plea bargain.
Langkah itu menjadikan Hari Nada antara individu paling penting dalam kes berprofil tinggi tersebut, tetapi pada masa sama turut menjadikan beliau sasaran kritikan daripada sesetengah pihak yang melihatnya sebagai “orang dalam” yang membantu menjatuhkan bekas ketuanya sendiri.
Kesan besar kepada Nissan
Penahanan Ghosn bukan sahaja menamatkan era kepimpinannya, malah turut memberi kesan besar kepada Nissan.
Skandal itu mencetuskan keretakan serius dalam hubungan Renault-Nissan, selain melemahkan kedudukan Nissan dalam pasaran automotif global. Dalam tahun-tahun selepas itu, syarikat berkenaan terus bergelut dengan cabaran dalaman, prestasi kewangan yang tidak konsisten serta perubahan struktur pengurusan.
Kini, dengan persaraan Hari Nada, satu lagi bab penting dalam saga paling dramatik industri automotif moden akhirnya ditutup.