Wuling E5C - EV bersaiz K-car

oleh Mohamad Hanif|
Awal tahun lalu, terdapat kerjasama antara SAIC-GM-Wuling diwujudkan bagi membangunkan sebuah kenderaan elektrik yang khusus untuk kegunaan dalam bandar yang sesak dan sibuk.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Hasilnya, sebuah kereta elektrik pertama Wuling E5C yang memiliki dimensi yang serba kompak, dan diinspirasikan daripada k-car Jepun. 

Dari segi dimensi, Wuling E5C hanya sepanjang 2,917 mm, 1,493 mm lebar dengan ketinggian 1,621 mm, lebih pendek dan rendah berbanding Honda N-Box. 
 


Namun menurut Wuling, E5C ini masih lagi mampu menawarkan ruang tempat duduk untuk empat orang dewasa 'dengan selesa', serta ruang kargo yang boleh mencecah 740 liter sekiranya tempat duduk baris kedua dilipat. 

Selain daripada ruang yang mencukupi untuk meletakkan beg bagasi besar atau stroller bayi, Wuling E5C turut menawarkan sehingga 12 ruang storan termasuklah tempat pemegang cawan. 
 


Ruang dalaman kabin E5C ini direka supaya tampil minimalis namun masih mampu menawarkan fungsi yang tersendiri, seperti rekaan tempat duduk yang mampu memaksimumkan ruang, penggunaan panel instrumen digital di belakang roda stereng serta butang kawalan iklim dan infotainmen di bahagian tengah. 

Melihatkan kepada dimensi yang agak kecil, tidak menghairankan jika kereta k-car China ini tidak didatangkan dengan konsol tengah bagi mewujudkan ilusi ruang kabin yang luas. 
 


Akan tetapi, EV ini hadir dengan kawalan penukaran gear transmisi berbentuk tombol rotari yang terletak di antara tempat duduk hadapan. 

Tidak dilupakan, EV ini hadir dengan konfigurasi motor elektrik tunggal berkuasa 27 hp dengan sumber kuasa diperoleh daripada pek bateri 13.82 kWh dan kelajuan sekitar 100 km/j sahaja. 

Wuling akan melancarkan E5C ini untuk pasaran China terlebih dahulu pada suku ketiga 2020.