Wuling Victory 2021 - MPV enam tempat duduk, harga dari RM53 ribu di China

oleh Mohamad Hanif|
Wuling yang dikatakan antara jenama baharu yang disebut-sebut bakal memasuki pasaran Malaysia itu kini melancarkan sebuah MPV serba baharu yang dinamakan sebagai Victory di China.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

MPV tiga baris tempat duduk dengan muatan sehingga enam orang pada satu-satu masa itu merupakan model pertama yang menampilkan lencana global berwarna perak, menandakan ia sudah bersedia untuk menyerang beberapa pasaran dunia dalam masa terdekat.

 


Dari segi kuasa, Wuling Victory dijana dengan enjin 1.5 liter empat silinder sebaris dengan bantuan turbo yang mampu menghasilkan 148 hp, serta gandingan transmisi manual enam kelajuan atau kotak gear CVT.

MPV saiz pertengahan ini memiliki dimensi 4,875 mm, lebar 1,880 mm dan tinggi 1,700 mm dengan jarak antara roda sekitar 2,800 mm, membenarkan Victory menawarkan ruang kabin yang cukup selesa untuk memuatkan enam orang pada satu-satu masa.

Dengan tempat duduk baris kedua dan ketiga dilipat rata, Wuling Victory mampu menawarkan ruang kargo sebesar 1,500 liter.

 


Bagi mereka yang tidak mahukan bilangan tempat duduk yang banyak, terdapat varian empat penumpang disediakan dengan penawaran kerusi kapten untuk baris kedua.

Ruang dalaman menampilkan penggunaan bahan upholsteri kulit lembut dan fabrik, tempat duduk yang serba ergonomik pada baris pertama dan kedua, serta penggunaan bahan penyerap bunyi dan kaca setebal 4 mm untuk ruang kabin yang lebih senyap.

 


Selain daripada itu, Wuling Victory turut dipasang dengan penapis udara PM2.5 yang mampu menghalang habuk, virus dan bakteria dengan kadar perlindungan tahap N95.

Dari segi keselamatan, Wuling Victory menawarkan ciri seperti Program Kestabilan Elektronik Bosch 9.3, sistem bantuan pemandu termaju (ADAS), enam beg udara (termasuk beg udara sisi) dan empat kamera di bahagian luar.

 


Seperti yang disebutkan tadi, Wuling bakal memasarkan MPV Victory ini untuk beberapa pasaran dunia, di mana Eropah bakal menjadi destinasi pertama selepas China bermula tahun 2022.

Sebelum terlupa, harga jualan bagi MPV Wuling Victory ini di China bermula dari RMB 85,800 (RM53,414) sehingga RMB 116,800 (RM72,713).