Hasrat mereka cuma satu - mahu mewujudkan satu ekosistem menyeluruh di mana kesemua peranti boleh berkomunikasi sesama sendiri.
Selain daripada cerek elektrik, lampu LED pintar, CCTV, periuk nasi elektrik, robot pembersih lantai, anda juga kini boleh mendapatkan sebuah kereta SUV off-road terkenal - Suzuki Jimny!
Namun, ia bukanlah kereta yang boleh dipandu seharian, dan bukanlah juga kereta pintar seperti yang pernah dicanangkan sebelum ini.
Informasi yang dipetik daripada laman web Weibo baru-baru ini memperlihatkan sebuah Suzuki Jimny berskala 1:16 yang boleh dikawal menggunakan sambungan Bluetooth menerusi peranti pintar anda.
Terdiri daripada lebih 200 komponen yang perlu dipasang sendiri (DIY), ia menampilkan casis ladder frame yang diperbuat daripada bahan nilon tahan hentakan, serta motor elektrik yang mampu menggerakkan keeempat-empat roda off-road dan sistem suspensi jenis coil spring.
Idea untuk menghasilkan kereta pintar bukanlah satu perkara baharu, memandangkan jenama Xiaomi pernah bekerjasama dengan FAW menerusi produk SUV Bestune T77 yang boleh dikawal operasinya mengunakan arahan suara.