Menurut seorang blogger automotif di Weibo yang menggunakan nama samaran “Sago soup in Bologna” (西米露在博洛尼亚), kenderaan tersebut disahkan dibeli secara rasmi oleh Ferrari bagi tujuan ujian dan pembangunan. Beberapa saksi turut mengesahkan bahawa SU7 Ultra itu jelas keluar dari fasiliti Ferrari.
“Selepas disahkan, kenderaan ini memang dibeli Ferrari untuk tujuan kajian dan pembangunan platform elektrik generasi seterusnya,” jelas blogger berkenaan.
Seorang lagi penulis automotif terkenal China, “Zurich Beileye” (苏黎世贝勒爷), mendakwa wakil Ferrari pernah mengunjungi ibu pejabat Xiaomi tahun lalu. Walaupun tiada kerjasama rasmi diumumkan, pembelian SU7 Ultra oleh Ferrari memberi isyarat bahawa mereka berminat dengan penyelesaian teknikal Xiaomi, khususnya dalam pembangunan motor elektrik berprestasi tinggi.

Tidak lama selepas itu, gambar yang dikongsi oleh pengguna Weibo “Piniluoshan” (劈你落山) menunjukkan sebuah jentera Ferrari dalam penyamaran diuji di luar kilang pada 28 Julai. Menurut perbincangan dengan jurutera di lokasi, jentera tersebut dikenalpasti sebagai platform ujian elektrik sepenuhnya lengkap dengan paip ekzos palsu untuk mengaburi identiti sebenar.
Sumber dalaman yang terlibat dengan lawatan kilang turut memaklumkan bahawa Ferrari dijangka memperkenalkan model elektrik pertama mereka menjelang hujung tahun ini.

Kemunculan Xiaomi SU7 Ultra di Maranello ini bukanlah kali pertama model tersebut menjadi tumpuan pengeluar global. Sebelum ini, ia juga pernah dilihat di ibu pejabat Hyundai di Korea Selatan. Dengan reputasinya sebagai EV berprestasi tinggi dan seni bina elektrik yang canggih, langkah Ferrari menggunakan SU7 Ultra sebagai bahan kajian bukanlah sesuatu yang mengejutkan.
Sumber: Xiaomi SU7 Ultra spotted at Ferrari factory with the supercar brand's BEV rumored to come this year