XPeng G9 - SUV elektrik berkuasa 543 hp, pengecasan sepantas lima minit untuk jarak 200 km!

oleh Mohamad Hanif|
XPeng baharu sahaja mendedahkan perincian spesifikasi SUV berkuasa elektrik yang dinamakan sebagai XPeng G9.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Dari segi dimensi, XPeng G9 membawakan ukuran sepanjang 4,891 mm, lebar 1,937 mm, tinggi 1,680 mm, dengan ruang kargo sebesar 660 liter atau sehingga 1,576 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat ke bawah.
 

XPENG


Rekaan papan pemuka XPeng G9 ini menampilkan dua skrin utama, di bahagian hadapan terdapat skrin kluster digital yang agak kecil manakala bahagian tengah pula menempatkan dua skrin bersaiz 15 inci dengan antaramuka 3D, serta bantuan suara termaju yang mampu mengawal lebih 600 fungsi di dalam kenderaan.

Selain itu, terdapat sistem audio Dynaudio dengan 28 pembesar suara, serta pengalaman 5D yang membolehkan beberapa tetapan dibuat untuk tujuan keselesaan, termasuklah ciri gegaran, pencahayaan ambien, larasan pendingin hawa, serta bauan yang boleh disesuaikan ketika sedang menonton filem, mendengar muzik atau sekadar berehat.
 

XPeng


Sistem bantuan pemandu termaju juga turut dimuatkan pada XPeng G9 yang dibantu dengan cip pemprosesan Nvidia Drive Orin (kuasa pemprosesan 508 TOPS, 31 penderia, kamera hadapan serta penderia LiDAR berkembar.

Ditawarkan dalam enam varian, versi asas dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pacuan roda belakang yang mampu menjana kuasa 308 hp dan daya kilas 430 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 200 km/j.
 

XPeng


Versi yang lebih bertenaga pula didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar dengan kuasa sekitar 543 hp dan 717 Nm, di mana pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.9 saat.

XPeng G9 dengan pek bateri standard mampu mencapai jarak operasi sejauh 570 km, atau sehingga 702 km untuk versi jarak jauh, sementara tiga varian teratas dengan sistem pacuan semua roda pula mampu bergerak sehingga 650 km untuk sekali cas penuh.
 

Xpeng


Dengan teknologi pengecasan 800 voltan, SUV G9 ini secara rasminya menawarkan sistem pengecasan terpantas di dunia, terutama apabila menggunakan sistem pengecasan super 480 kW.

Dalam tempoh lima minit pengecasan sahaja, SUV G9 ini mampu bergerak sejauh 200 km, dan pengecasan 10-80 peratus pula boleh diselesaikan dalam tempoh 15 minit!

Harga jualan XPeng G9 bermula dari 309,900 yuan sementara versi tertinggi Launch Edition pula berharga dari 469,900 yuan.