Yamaha e-Vino - skuter EV dengan jarak operasi 29 km sahaja!

oleh Mohamad Hanif|
Di Jepun, Yamaha baru-baru ini telah pun melancarkan sebuah skuter berkuasa elektrik sepenuhnya yang dinamakan sebagai e-Vino.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Skuter EV tersebut dipasarkan untuk kegunaan urban, di mana menurut Yamaha hanya memiliki berat sekitar 74 kg, dan dengan pek bateri 50V, ia mampu bergerak sejauh 29 km sahaja.

Bagi mereka yang tidak berpuas hati, bateri simpanan boleh didapati bagi menambah jarak kepada 58 km, cukup sesuai untuk digunakan sebagai kenderaan komuter ke tempat kerja.

 


Masa pengecasan bateri pula adalah selama tiga jam dengan menggunakan outlet kuasa standard Jepun.

Paparan LCD yang dibekalkan pada Yamaha e-Vino ini adalah sangat ringkas, namun tetap memaparkan informasi penting seperti status kapasiti bateri, kelajuan serta mod tunggangan.

Sebut pasal mod tunggangan, terdapat dua jenis mod yang ditawarkan iaitu mod Standard dan mod Power, dan terdapat juga fungsi Boost yang membenarkan lonjakan kuasa selama 30 saat untuk digunakan dalam masa tertentu, seperti contoh mendaki cerun.

 


Rekaan skuter e-Vino ini amat ringkas dengan kehadiran lampu utama berbentuk bulat, sementara bahagian sisinya mengingatkan kita kepada rekaan skuter Vespa.

Untuk pasaran Jepun, harga jualan bermula dari 259,600 yen (RM10,368) dan pada ketika ini hanya eksklusif untuk pasaran Jepun sahaja.

Kerajaan Jepun juga turut menawarkan subsidi kepada rakyat Jepun sebanyak 25,000 yen (RM999) dengan syarat-syarat seperti pembelian EV kali pertama dan khusus untuk kegunaan persendirian dan harus dimiliki untuk tempoh paling kurang tiga tahun.