Pelancaran itu berlangsung sempena Yamaha Automatic World Roadshow yang diadakan di Mayang Mall, menghimpunkan seluruh rangkaian model automatik Yamaha untuk tontonan umum.
Ego Gear Pro hadir dengan enjin BLUE CORE Hybrid 125 cc yang menghasilkan 8 HP dan 9.9 Nm, di mana ia menekankan keseimbangan antara kuasa, penjimatan petrol dan getaran enjin yang rendah.
Yamaha turut membawakan teknologi Power Assist, iaitu sistem bantuan kuasa tambahan ketika memecut dari keadaan berhenti, melalui ciri Smart Motor Generator (SMG).
SMG turut membolehkan enjin dihidupkan secara senyap dengan hanya satu sentuhan, ia juga mengoptimumkan operasi Stop & Start System, menjadikan tunggangan lebih efisien di kawasan bandar yang sesak.
Walaupun bersaiz kompak, EGO Gear Pro masih menawarkan ciri praktikal terbaik dengan ruang simpanan bawah tempat duduk 18.6 liter, serta kapasiti tangki bahan api 5.1 liter yang memberikan jarak tunggangan harian meyakinkan.
Melengkapkan pakej, skuter kompak itu turut dilengkapi aplikasi Y-Connect yang membolehkan penunggang memantau data motosikal seperti penggunaan petrol, notifikasi, penyelenggaraan dan lokasi parkir terakhir.
Hadir dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Stellar White, Navy Green dan Cosmic Blu, Yamaha EGO Gear Pro dijual pada harga RM6,198 (tidak termasuk cukai jalan & insurans).