Yamaha NMax 155 facelift bakal dilancarkan di Indonesia hujung 2019

oleh Mohamad Hanif|
Selain daripada Yamaha Thailand yang cukup aktif sejak kebelakangan ini, Yamaha Indonesia juga tidak mahu ketinggalan untuk terus kekal di dalam radar para peminatnya.

Terbaharu, dikhabarkan Yamaha Indonesia sedang menguji model facelift skuter NMax 155 yang dijadualkan pelancarannya menjelang November atau Disember tahun ini. 

Menurut laporan daripada TMCBlog, ia merupakan satu tradisi daripada Yamaha Indonesia dalam memperkenalkan produk-produk baharu sejak kebelakangan ini. 
 


Berdasarkan rekaan paten yang tertiris, NMax 155 membawakan perubahan rekaan yang telah dikemas kini, sebagai contoh muka hadapan kini menampilkan rekaan lampu utama LED serba baharu. 

Akan tetapi, posisi lampu dan juga penghadang angin masih kekal di tempat yang sama seperti model NMax yang terdahulu. 

Rekaan kokpit juga turut membawakan papan instrumen jenis digital yang dikatakan bakal menawarkan sambungan Bluetooth. 
 


NMax 155 juga kini menampilkan ruang simpanan tertutup di bahagian bawah handlebar bagi memuatkan sebuah botol dan juga ruang pengecasan peranti.

Dari segi penawaran kuasa, NMax 155 didatangkan dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair 155 cc yang mampu menjana 15.09 PS dan 14.4 Nm. 

Tugas memberhentikan skuter ini diserahkan kepada sistem brek cakera depan dan belakang, di mana ciri ABS akan ditawarkan sebagai opsyen. 

 


Sumber: TMCBlog

Add new comment

Careta Ad