Yamaha Ténéré 700 2026 kini di Malaysia – dari RM58,998

oleh Firdaus Razani|
Dalam dunia motosikal hari ini, semakin ramai penunggang mula mencari pengalaman yang lebih daripada sekadar ulang-alik harian. Mereka mahu bergerak lebih jauh, merentas sempadan, dan dalam masa sama menikmati setiap perjalanan.

Seiring dengan trend itu, Hong Leong Yamaha Motor kini memperkenalkan Yamaha Ténéré 700 baharu, sebuah jentera adventure touring dual-purpose yang dibina untuk mereka yang sukakan eksplorasi tanpa had.

Apa yang menarik, model ini bukan sekadar fokus kepada perjalanan jauh, tetapi turut menawarkan kemampuan off-road yang sebenar.

Jadi, sama ada anda berada di lebuh raya atau laluan mencabar, Ténéré 700 cuba beri keyakinan yang konsisten kepada penunggang.

 

yamaha

 

Dalam masa sama, perkembangan segmen motosikal berkuasa tinggi di Malaysia juga dilihat semakin positif. Malah, kategori melebihi 500cc kini semakin berkembang, terutamanya dalam segmen adventure yang semakin mendapat perhatian ramai.

Dari segi penambahbaikan, antara perubahan penting adalah penggunaan sistem Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) pada enjin CP2. Dengan teknologi ini, respon pendikit menjadi lebih lancar dan tepat, sekali gus memberi kawalan yang lebih baik kepada penunggang.

 

yamaha

 

Selain itu, Yamaha turut menyediakan dua mod tunggangan iaitu SPORT dan EXPLORER. Jadi, jika anda mahu tunggangan agresif, SPORT adalah pilihan sesuai, manakala EXPLORER pula lebih santai dan stabil untuk perjalanan jauh atau laluan mencabar.

Bagi aspek keselesaan pula, posisi tunggangan telah diperhalusi dengan tempat duduk yang lebih rata serta footrest yang lebih besar. Ini penting, terutamanya untuk perjalanan jarak jauh yang memerlukan kestabilan dan kawalan yang lebih baik.

 

yamaha

 

Tidak cukup dengan itu, sistem suspensi juga ditambah baik dengan Monocross belakang serta fork hadapan upside-down 43mm yang boleh dilaras sepenuhnya. Hasilnya, motosikal ini lebih bersedia untuk pelbagai keadaan jalan.

Dari segi teknologi, Ténéré 700 hadir dengan ABS tiga mod serta Traction Control System (TCS) yang boleh dihidupkan atau dimatikan. Ini memberi fleksibiliti kepada penunggang, terutama apabila berdepan laluan off-road.

 

yamaha

 

Tambahan pula, model ini turut dilengkapi lampu hadapan quad LED baharu untuk pencahayaan lebih jelas, serta paparan TFT 6.3 inci lengkap dengan navigasi turn-by-turn dan turut didatangkan port USB Type-C menjadikan perjalanan lebih praktikal.

Yamaha Ténéré 700 ditawarkan pada harga baharu yang lebih rendah berbanding berbanding versi sebelum ini, kini ia diletakkan dengan tanda harga bermula dari RM58,998.

 

yamaha