Ia membawakan kemaskini rekaan yang telah pun diperlihatkan menerusi pelancaran di Eropah minggu lalu, seperti elemen lampu berbentuk X depan dan belakang, serta lampu membelok depan yang diposisikan lebih tinggi.
Yamaha Xmax 250 Connected (nama rasmi di Indonesia) turut membawakan skrin paparan TFT bersaiz 4.2 inci yang mampu memaparkan pelbagai jenis informasi berguna (keadaan skuter, notifikasi peranti pintar, ramalan cuaca).

Sama seperti Xmax 300 Eropah, Xmax 250 Connected ini turut menyokong sistem navigasi Garmin Street Cross.
Xmax 250 Connected membolehkan pemilik menghubungkan skuter mereka dengan aplikasi Y-Connect.
Daripada situ, pemilik boleh mendapatkan maklumat seperti aspek penyelenggaraan, tahap penggunaan bahan api, lokasi parkir, log serta sejarah penggunaan setiap hari.

Ciri lain yang ada sebelum ini dikekalkan pada penawaran terbaharu, seperti sistem kekunci pintar, sistem jawab balik (answer back), soket kuasa untuk pengecasan bateri, pelarasan cermin penghadang angin, serta ruang storan sebesar 44.9 liter.
Di Indonesia, Xmax 250 Connected dijana dengan enjin Blue Core 250 cc menghasilkan kuasa 22.5 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 24.3 Nm @ 5,500 rpm, dibantu dengan tangki bahan api sebesar 13 liter.
Xmax Connected ini juga didatangkan dengan ciri keselamatan seperti Sistem Kawalan Cengkaman (TCS) serta sistem brek anti-kunci (ABS) dua saluran.

Harga jualan di Indonesia bermula dari Rp 66,000,000 (RM19.984).