Model Y16ZR edisi terhad ini didatangkan dengan liveri ikonik dengan skema warna merah dan putih, diikuti dengan rim sport berwarna emas, serta emblem ulang tahun yang ke-60 pada motosikal tersebut.
Setiap pembelian turut disertakan dengan sijil penghargaan, Tumbler Premium World GP 60th Anniversary, pin edisi terhad, serta keychain serba premium.
Dari segi kuasa, Y16ZR edisi ulang tahun ke-60 ini didatangkan dengan enjin 155 cc VVA (Variable Valve Actuation) yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 17.7 hp @ 9,500 rpm, dan daya kilas 14.4 Nm @ 8,000 rpm, dipadankan dengan transmisi enam kelajuan dengan sistem pemetaan yang berbeza untuk setiap gear.
Model ini juga turut dilengkapi dengan sistem klac Assist/Slipper yang mampu menawarkan penukaran gear yang lebih mudah, terutama ketika menukar gear yang lebih rendah.
Bersempena dengan pelancaran ini juga, HLYM turut melancarkan koleksi pakaian World GP 60th Anniversary yang boleh didapati di kedai dalam talian Genblu bagi mereka yang mahu memadankan penggayaan sesuai dengan motosikal edisi terhad ini.
Harga jualan bermula dari RM11,688 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.