Yamaha R25 memang popular, dijual di banyak buah negara termasuk pasaran tempatan.
Terbaru Yamaha memperkenalkan YZF-R25 ABS 2022 dengan beberapa perubahan kecil di Jepun.
Lebih menarik, YZF-R25 ABS WGP 60th Anniversary turut diperkenal dengan skema grafik yang malar segar.
Model ini dibuat bagi memperingati ulang tahun ke-60 penglibatan Yamaha di dalam perlumbaan grand prix dan hanya 240 unit ditawarkan di Jepun.
YZF-R25 WGP sebelum ini ditawarkan di Indonesia.
YZF-R25 2022 pasaran Jepun tampil dengan enjin 249 cm3 yang mematuhi piawaian emisi 2020 dan masih mempunyai output sama, 35 ps pada 12,000 rpm dan tork 23 Nm pada 10,000 rpm.
Warna pula ada tiga iaitu biru dengan imej atau rasa prestasi tinggi dan hitam yang moden dengan tona gelap.
Bosan dengan warna biasa? Pengguna di Jepun ditawarkan warna oren yang katanya nampak sporti dan kasual.
Lagi ciri untuk model 2022 ialah lampu depan dan belakang LED termasuk lampu isyarat. Saiz lampu isyarat R25 Jepun nampak lebih kecil berbanding R25 pasaran lain.
Selain itu, quick shifter dijadikan sebagai kelengkapan aksesori dan pertama kali untuk R25.
YZF-R25 ABS WGP 60th Anniversary pula membawakan skema warna tradisional Yamaha Racing ala YZR500 1980.
Model ini dilengkapi logo ulang tahun WGP 60, roda dan fork warna emas, suspensi belakang kuning dan tuil brek warna hitam.
YZF-R25 menggunakan suspensi belakang hitam dan tuil brek warna perak.
Berkenaan harga, YZF-R25 ABS dijual pada 668,800 yen (RM22,423) dan 690,800 yen (RM23,161) untuk YZF-R25 ABS WGP 60th Anniversary.
Motosikal ini dipasang oleh PT. Yamaha Indonesia Motor Manufacturing.
Penulis: Muhammad Md Tajudin