Sebuah syarikat pemula dari Latvia, Zeltini telah mengemukakan idea menarik di mana satu binaan tunggal ini menggandingkan fungsi yang terdapat pada basikal, bot dan juga kenderaan rekreasi (RV).
Model tiga dalam satu ini membolehkan anda meneroka jalan darat dan air, selain menawarkan ruang yang memadai untuk dua orang dewasa bermalam di sesuatu tempat.
Dalam mod basikal, anda boleh memilih untuk kayuh sendiri, atau menggunakan tenaga daripada dua motor elektrik berkuasa 0.34 hp.
Untuk mengemudi di laluan air, anda hanya perlu mengangkat tayar hadapan sebelum mengembung dan memasang pelampung pengimbang, dan menurunkan motor elektrik daripada kabin, dalam masa kurang dari lima minit.
Sama seperti mod basikal, anda boleh memilih untuk menggunakan kuasa elektrik, atau dayung sendiri sebagai salah cara untuk memenuhi azam tahun baru 2020 yang sudah lapuk dua tahun itu.
Zeltini juga turut menyediakan panel solar bagi mengecas bateri serta sistem pembesar suara Bluetooth yang terbina.
Untuk pasaran Eropah, Z-Triton dijual pada harga bermula €14,500 (RM68,838) dan ia bakal diperluaskan ke seluruh dunia.