Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan apabila syarikat dibawah naungan Geely itu berjaya memperoleh tempahan melebihi 20,000 unit dalam masa 48 jam.
Zeekr 007 diposisikan sebagai sebuah sedan elektrik saiz pertengahan, dengan ukuran dimensi 4,865 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,450 mm dan jarak antara roda 2,928 mm.
Sama seperti model-model Zeekr lain (001, X, 009), Zeekr 007 dibina berdasarkan pelantar modular Sustainable Experience Architecture (SEA), namun dengan bahasa rekaan baharu Hidden Energy yang mewah dan minimalis.
Antara ciri unik yang ada pada Zeekr 007 ialah ZEEKR STARGATE - panel bercahaya sepanjang 90 inci yang terdiri daripada 1,711 unit LED dan kadar kecerahan maksimum 10,000 nit.
Sementara bahagian belakang pula menampilkan unit lampu yang agak nipis dan perkataan Zeekr pada bahagian dasar cermin belakang.
Di pasaran China, Zeekr 007 boleh didapati dalam versi pacuan roda belakang 416 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, atau pacuan semua roda (tambahan motor elektrik depan 221 hp) di mana pecutan 0-100 km/j jauh lebih pantas, sekitar 2.84 saat.
Versi standard dengan pek bateri ternary lithium (CATL-Geely) boleh dipandu sejauh 688 km (data CLTC), sementara versi jarak jauh dengan bateri lithium iron phospate (Quzhou Jidian EV Tech) pula menawarkan jarak gerak sejauh 870 km.
Senibina elektrik 800 voltan pula membolehkan sedan ini menambah jarak 610 km dalam tempoh 15 minit sahaja.
Zeekr 007 juga datang standard dengan kemasan kulit Nappa pada tempat duduk, sistem pencahayaan ambien, bumbung panorama, skrin tengah sebesar 15 inci, skrin paparan HUD 35.5 inci dan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 8295.
Ciri keselamatan yang wujud pada Zeekr 007 ini banyak dibantu dengan kelengkapan seperti penderia LIDAR, 12 kamera HD, lima radar gelombang milimeter, 12 penderia ultrabunyi serta cip NVIDIA Orin X untuk menyokong ciri bantuan pemandu termaju (ADAS).
Di pasaran China, Zeekr 007 dijual pada harga bermula dari 229,900 yuan (RM150,725).