Zeekr 01 didedahkan secara rasmi - shooting brake elektrik berkuasa 536 hp/700 Nm, 0-100 dalam 3.8 saat!

oleh Mohamad Hanif|
Zeekr merupakan satu jenama baharu yang dilancarkan oleh syarikat automotif China Geely dengan menggunakan konsep untuk 'tidak menghasilkan EV yang membosankan'.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Hasilnya, Zeekr tampil dengan model Zeekr 01 yang merupakan versi produksi kepada model konsep Lynk & Co Zero yang diperlihatkan pada tahun lalu.

Secara kasarnya, Zeekr 01 mendapat beberapa perubahan kecil dari segi rekaan, seperti contoh pemegang pintu tertanam di dalam badan, rekaan pintu tanpa rangka yang mampu terbuka sendiri apabila pemandu menghampiri kenderaan, pemasangan penderia pada fender hadapan dan penjenamaan Zeekr pada bar lampu belakang menggantikan Lynk & Co.

 


Dari segi dimensi, Zeekr 01 membawakan ukuran sepanjang 4,970 mm, dan jarak antara roda 3,005 mm, atau 8 mm lebih panjang berbanding Porsche Taycan dengan kelebihan jarak antara roda 104 mm.

Dengan penggunaan sistem suspensi udara, Zeekr 01 menawarkan jarak kelegaan tanah antara 117 mm hingga 205 mm.

Ruang kabin pula menampilkan skrin paparan kluster instrumen digital, skrin infotainmen yang agak besar, trim geometrik, sistem pencahayaan ambien dan aksen dua tona sementara ruang kargo pula adalah sebesar 2,144 liter.

 


Zeekr 01 dibangunkan menggunakan platform baharu Geely SEA dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang mampu menghasilkan 536 kuasa kuda, 700 Nm daya kilas, yang menyalurkan kuasa menerusi sistem pacuan semua roda.

Ini membolehkan Zeekr 01 memecut sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j dengan kelajuan tertinggi 200 km/j.

Pek bateri pula ditawarkan dalam dua kapasiti iaitu 86 kWh dan 100 kWh di mana Zeekr 01 menjanjikan jarak operasi sejauh 700 km untuk sekali cas penuh.

Sistem pengecasan pantas 360 kW pula membenarkan pemilik menambah jarak operasi sejauh 120 km dengan hanya lima minit masa pengecasan.

 


Zeekr 01 akan dilancarkan secara rasmi di China pada Oktober ini dengan perancangan untuk membuka 36 pusat pengedar, 60 buah pusat servis, dua buah Zeekr Experience Centre dan 60 buah Zeekr Space di seluruh China.

Ia akan disusuli dengan perancangan untuk memperluaskan pengaruh Zeekr di peringkat global pada tahun 2022 di mana hanya pasaran tertentu sahaja akan menerima model Zeekr ini.

Geely juga merancang untuk memperkenalkan jaringan sehingga 2,000 buah fasiliti pengecasan Zeekr menjelang akhir 2023.

Berita Berkenaan

Berita Global
Kenapa bandar tersebut dipilih? Menurut penerangan menerusi saluran Youtube Mobileye, bandar New…
Berita Global
Menurut berita daripada Reuters, Ketua Eksekutif An Chonghui memberitahu kesemua unit yang…