Zeekr Mix dilancar, MPV EV 5 tempat duduk, tanpa tiang B, 3 pintu gelangsar

oleh Muhammad Md Tajudin|
Zeekr Mix
Zeekr Mix
Jenama mewah dari kumpulan automotif Geely, Zeekr melancarkan kenderaan pelbagai guna (MPV) Mix secara rasmi di China.

Mix hadir tanpa tiang tengah, bukan idea baharu tetapi masih unik pada kereta hari ini.

Satu lagi, kerusi depan boleh dipusing dan mengadap penumpang belakang. Sekali lagi bukan idea baharu namun tetap unik.

Dari segi reka bentuk, tidak sukar untuk menghadamnya dan Mix direka seperti sebuah kapsul.
Zeekr Mix

 

Mix merupakan produk berorientasikan keluarga pertama yang dibina daripada seni bina SEA-M berbanding Zeekr 009 yang menggunakan SEA.

Dari segi saiz, Mix berukuran panjang 4,688 milimeter (mm) dan boleh dikatakan sebagai sedang-sedang atau sederhana.

Ukuran lebar 1,995 mm, tinggi 1,775 mm manakala jarak roda 3,008 mm dan tinggi kabin 1,350 mm. 

Kerusi depan boleh dipusing 270 darjah dan konsol tengah boleh digerakkan dan menjadikannya sebagai ruang tamu.

 

Zeekr Mix

 

Satu lagi yang menarik ialah dua pintu gelangsar dengan bukaan lebar 1.48 meter dan tinggi lantai hanya 390 mm dan mudah untuk kanak-kanak dan warga emas.

Dari gambar boleh dilihat pintu depan bukan jenis kuak tetapi memanjang ke sisi badan.

Istilah gelangsar mungkin tidak sesuai kerana kedua-dua pintu menggunakan engsel dan bukan rel.

Secara keseluruhan, Mix mempunyai tiga pintu 'gelangsar' dan apa jadi pada satu lagi pintu? Pintu pemandu dibuka atau kuak seperti biasa.

 

Zeekr Mix

 

Dari gambar juga boleh dilihat bukaan pintu yang tidak terhalang dengan tiang B. Tanpa tiang B tidak bermakna keselamatan diabaikan.

Tiang besi kekuatan ultra tinggi berada atau tersorok di dalam pintu. Apabila kedua-dua pintu depan dan belakang bertemu, Mix mempunyai dua tiang B.

Struktur itu dibuat daripada besi 2,000 mPa yang dibentuk dengan pemanasan dan diperkukuh melalui proses penebalan yang unik.

Proses tersebut menjadikannya 30 peratus lebih kuat berbanding besi dengan pembentukan pemanasan konvensional.

 

Zeekr Mix

 

Badan belakang pula jenis tuang tunggal (one-piece die-cast) dan menggunakan bahan sama seperti 009 dan meningkatkan lagi ketahanan kereta.

Selain ruang dalam, reka bentuk struktur penyerap hentak dan pengoptimuman ruang ampaian membolehkan roda diputar lebih 50 darjah dan radius pusingan di dalam lima meter.

Mix boleh membuat pusingan U pada persimpangan empat lorong dengan lancar.

Membaca mengenai inovasi Mix ibarat kertas penyelidikan universiti yang dikeluarkan ke dunia sebenar dan juga tanda aras kemajuan automotif pengeluar China.

 

Zeekr Mix

 

Mix didatangkan bersama sistem 800V dan dua pilihan bateri. Bateri litium-besi-fosfat (LFP) 76 kilowatt-jam (kWj) membolehkan Mix dipandu sehingga 550 kilometer (CLTC).

Bateri nikel mangan kobalt (NMC) pula sehingga lebih 700 km (CLTC). Bateri LFP yang dibangunkan jurutera Zeekr mempunyai keupayaan pengecas ultra pantas 5.5C.

Pengecasan dari 10 sehingga 80 peratus hanya perlu 10.5 minit!

Berbekalkan segala fikiran dan konsep inovatif, berapa harga Mix di China? 279,000 yuan (RM171,543) dan 299,900 yuan (RM184,400) bagi model jarak jauh.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Zeekr Mix